Nahas ngeri yang mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera di KM 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, malam tadi berpunca dari tayar sebuah lori yang tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya berkenaan.

ALOR GAJAH – Nahas ngeri yang mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, malam tadi berpunca dari tayar sebuah lori yang tercabut.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah Perodua Bezza.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa maut adalah pemandu MPV jenis Toyota Estima, Khairul Izwan Mazupi, 32 tahun, isterinya, Fadzlenna Ramli, 32 dan bapanya, Ramli Ab Wahab, 66.

Keadaan MPV yang remuk tersepit antara bas dan treler yang mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, malam tadi

“Turut maut adalah anak pasangan berkenaan, Muhammad Umar, 2, pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, serta dua lagi masing-masing penumpang bas dan MPV yang belum dikenal pasti identitinya.

“Dua lagi anak pasangan itu, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, parah manakala Nur Sofea Humaira, 4, cedera ringan dan dirawat di Hospital Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini awal pagi ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati ketika kejadian lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.

Ashari berkata, sebaik tiba ditempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai telah tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.

“Akibatnya, pemandu bas persiaran itu telah melanggar tayar berkenaan mengakibatkannya hilang kawalan sehingga terbabas ke laluan bertentangan.

“Bas berkenaan kemudian merempuh sebuah Perodua Bezza menyebabkan ia terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah

Menurutnya, rempuhan kuat mengakibatkan kesemua mangsa meninggal dunia dilokasi kejadian akibat tersepit dan parah di seluruh anggota badan.

Tambah Ashari, Pol.61 telah diserahkan kepada Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Semua kenderaan terlibat telah di bawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here