Gambar hiasan

GEJALA gangguan seksual di tempat kerja adalah isu serius yang mempengaruhi kesejahteraan pekerja dan produktiviti organisasi. Dalam konteks Malaysia, isu ini perlu ditangani dengan mengambil kira aspek perundangan, penerimaan budaya, konteks sosial dan panduan agama.

Statistik terkini menunjukkan peningkatan kes gangguan seksual di Malaysia dalam tempoh tiga tahun terakhir, dengan jumlah kes yang dilaporkan meningkat setiap tahun – 506 kes pada 2021, 477 2022), dan 522 (2023). Lebih daripada 85 peratus mangsa setiap tahun adalah wanita iaitu 439 kes pada 2021, 422 (2022), dan 460 (2023).

Di tempat kerja, terdapat 95 kes gangguan seksual yang dilaporkan, dengan 88 peratus melibatkan wanita. Bagaimanapun, lebih membimbangkan trend peningkatan jenayah seksual terhadap kanak-kanak melalui media sosial iaitu 45 peratus pada 2023 berbanding tahun sebelumnya.

Gangguan seksual di tempat kerja merujuk kepada sebarang tingkah laku yang bersifat seksual yang tidak diingini dan memberi kesan kepada maruah, kesejahteraan, atau prestasi individu di tempat kerja. Ia boleh berbentuk fizikal, lisan, bukan lisan, atau berbentuk psikologi yang mencetuskan perasaan tidak selesa atau tidak selamat kepada mangsa.

Gangguan seksual sering kali melibatkan ketidakseimbangan kuasa, apabila pelaku menggunakan kedudukannya untuk mengeksploitasi mangsa. Jenis-jenis gangguan seksual termasuk gangguan verbal seperti komen berunsur seksual, jenaka lucah, atau ucapan yang menghina.

Gangguan fizikal pula merangkumi sentuhan tidak diingini, pelukan paksa, atau tingkah laku yang melibatkan tubuh mangsa tanpa persetujuan. Gangguan bukan lisan termasuk isyarat tubuh, pandangan yang tidak sopan, atau perkongsian imej dan kandungan berunsur seksual tanpa izin. Dalam dunia digital, gangguan seksual siber seperti mesej berunsur seksual atau ugutan melalui platform komunikasi juga semakin meningkat.

Salah satu contoh terbaharu gangguan seksual di tempat kerja melibatkan kes seorang profesor di sebuah universiti awam yang didakwa menghantar mesej jelik kepada pelajarnya baru-baru ini. Kes ini telah mencetuskan perbincangan meluas di media sosial dan mendapat perhatian pihak berkuasa universiti.

Walaupun butiran lengkap kes ini tidak didedahkan, ia mencerminkan isu penyalahgunaan kuasa dan tingkah laku tidak profesional dalam kalangan kakitangan akademik. Kes ini menyerlahkan keperluan untuk institusi pendidikan tinggi memperkenalkan dasar anti-gangguan seksual yang lebih ketat.

Universiti perlu memastikan terdapat mekanisme aduan yang mudah dan perlindungan kepada mangsa yang berani tampil membuat laporan. Selain itu, kesedaran tentang kepentingan etika profesional dan penghormatan terhadap rakan sekerja dan pihak-pihak lain yang berkaitan, perlu diterapkan secara konsisten melalui program latihan tertentu dan program kesedaran.

Malaysia telah memperkenalkan undang-undang yang bertujuan melindungi pekerja daripada gangguan seksual. Akta Kerja 1955 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 menggariskan keperluan majikan untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan bebas daripada gangguan. Selain itu, Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja, yang diperkenalkan pada tahun 1999, menyediakan panduan kepada majikan untuk menangani aduan gangguan seksual.

Namun, pelaksanaan undang-undang ini masih menghadapi cabaran. Ramai pekerja yang menjadi mangsa gangguan seksual tidak melaporkan kejadian tersebut kerana kekurangan pengetahuan tentang hak mereka atau ketakutan terhadap kemungkinan kesan buruk, seperti kehilangan pekerjaan atau stigma sosial. Tambahan pula, prosedur aduan yang kompleks dan kekurangan perlindungan saksi turut menyumbang kepada kadar laporan yang rendah.

Oleh itu, usaha perlu dipertingkatkan untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada dan memastikan akses kepada keadilan bagi mangsa. Ini termasuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja dan majikan, serta menyediakan latihan khusus kepada pihak pengurusan untuk mengenali dan menangani gangguan seksual dengan berkesan.

Budaya memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana gangguan seksual di tempat kerja difahami dan ditangani. Di Malaysia, elemen budaya patriarki atau sistem sosial yang menempatkan lelaki sebagai penguasa dan dominan, sementara golongan wanita berada di bawah arahannya sering menjadi penghalang kepada usaha membasmi gangguan seksual. Dalam banyak kes, mangsa wanita mungkin enggan melaporkan gangguan kerana bimbang akan dipersalahkan atau dicemuh oleh masyarakat.

Di samping itu, budaya hormat kepada hierarki juga mempengaruhi situasi ini. Dalam persekitaran kerja yang mana kuasa dan autoriti diagungkan, gangguan seksual oleh individu yang berada di kedudukan lebih tinggi sering kali tidak dipersoalkan. Hal ini menyebabkan mangsa merasa sukar untuk mempertahankan diri atau mencari keadilan.

Untuk menangani cabaran ini, perubahan budaya diperlukan. Kempen kesedaran masyarakat yang menekankan kepentingan menghormati hak individu dan menolak normalisasi tingkah laku gangguan seksual perlu digalakkan. Pendidikan awal di sekolah juga boleh membantu membentuk nilai yang lebih inklusif dan menghormati.

Dari segi sosial, isu gangguan seksual di tempat kerja turut dipengaruhi oleh faktor seperti gender, pendidikan, dan status sosioekonomi. Wanita sering menjadi mangsa utama, terutamanya dalam sektor pekerjaan yang kurang dilindungi seperti perkilangan dan perkhidmatan domestik. Golongan pekerja berpendapatan rendah atau dengan pendidikan rendah mungkin kurang memahami hak mereka atau berasa kurang berdaya untuk melawan.

Selain itu, media sosial juga memainkan peranan dalam mempengaruhi persepsi masyarakat tentang gangguan seksual. Di satu sisi, ia memberikan platform untuk mangsa bersuara dan mendapatkan sokongan. Di sisi lain, ia juga boleh menjadi tempat untuk memperbesar atau menormalisasi tingkah laku gangguan seksual, terutamanya apabila terdapat kurangnya kawalan terhadap kandungan yang disebarkan.

Dalam menangani aspek sosial ini, pendekatan holistik diperlukan. Kerjasama antara kerajaan, organisasi masyarakat sivil, dan sektor swasta adalah penting untuk menyediakan pendidikan dan sokongan kepada mangsa. Majikan juga perlu memastikan bahawa polisi tempat kerja mereka bersifat inklusif dan sensitif kepada keperluan pekerja dari pelbagai latar belakang.

Islam sendiri menawarkan penyelesaian komprehensif untuk menangani isu gangguan seksual di tempat kerja dengan menekankan nilai moral, tanggungjawab sosial, dan panduan syariah. Islam menggalakkan nilai taqwa dan akhlak mulia, seperti menjaga pandangan dan berinteraksi dengan sopan (Surah An-Nur 24:30-31).

Majikan bertanggungjawab menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan menghormati hak pekerja, selaras dengan hadis Nabi SAW: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Sokongan terhadap mangsa gangguan seksual melalui keadilan dan bantuan daripada pelbagai institusi sosial turut dianjurkan berdasarkan prinsip ‘Amal Maaruf Nahi Munkar. Pendekatan Islam ini, jika dilaksanakan sepenuhnya, mampu mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan bermaruah, serta bebas daripada unsur-unsur negatif berkaitan gangguan seksual.

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor, Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

 

 

Dr Mad Ithnin Salleh, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

 

 

Dr Nurul Fadly Habidin, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here