KUALA LUMPUR – Muezza Education Group Sdn. Bhd. menyasarkan membuka 100 cawangan Akademi Memanah Muezza dengan jumlah pelajar mencecah 10,000 menjelang tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Muezza, Anas Izuan Azmi berkata, sasaran itu berdasarkan jalinan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 33 rakan niaga baharu untuk menceburi dalam sukan memanah.
Menurut beliau, sepanjang tempoh dua tahun lima bulan beroperasi, Muezza telah berjaya membuka 56 cawangan menerusi permulaan enam rakan niaga.
“Muezza Education Group terus komited untuk membentuk generasi yang lebih baik melalui sukan memanah kerana yakin sukan ini akan memberikan impak yang besar kepada anak-anak.
“Justeru, kami menyasarkan 10,000 pelajar akan menyertai sesi kelas memanah Muezza di cawangan seluruh negara pada tahun depan dengan matlamat membuka 100 cawangan dengan kerjasama rakan niaga,” katanya pada Majlis MoU Muezza Education Group bersama 33 rakan niaga di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Anas Izuan berkata, sukan memanah bukan hanya tentang mengejar sasaran,tetapi tentang membentuk generasi muda yang lebih matang dan berkarakter.
Menurut beliau, ini kerana sesi kelas memanah dilengkapkan dengan pengajaran yang boleh membentuk disiplin dalam diri anak-anak sejak dari awal.
“Objektif utama Muezza adalah pembentukan karakter anak-anak yang kini lebih cenderung terlibat dengan gajet dan semakin kurang rasa hormat dan adab.
“Jadi sukan ini dapat membantu membangunkan sahsiah yang lebih baik kerana mengajar ketenangan, disiplin, dan fokus yang dipraktikkan dalam memanah membentuk keperibadian yang lebih matang,” katanya. – MalaysiaGazette