KUALA LUMPUR – Insiden ganas kembali tercetus dalam sukan bola sepak membabitkan pertemuan antara Budiman FC dan Amna FC pada aksi separuh akhir Arena Champion League yang menyaksikan di Arena Mutiara Dato Onn, Johor malam tadi.
Menerusi video yang tular, aksi berkenaan dicemari kontroversi selepas pemain Budiman FC kelihatan menumbuk pihak lawan pada minit ke-58 permainan selepas dia kehilangan bola atas kesilapannya sendiri.
Pemain Budiman FC yang memakai jersi nombor 23 dilihat melepaskan tumbukan ke arah muka pemain Amna FC dengan kekasarannya itu pada awalnya hanya diberikan layangan kad kuning.
Bagaimanapun selepas menerima nasihat daripada salah seorang penjaga garisan, pengadil kemudian menarik semula keputusan tersebut sebelum memberikan kad merah terhadap pemain terbabit.
Kad merah perlu dilayangkan kepada tindakan ganas berdasarkan peraturan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) di mana sepatutnya pemain sayap kebangsaan itu perlu dibuang padang kerana menumbuk pemain lawan.
Tindakan pemain Budiman FC itu mendapat kecaman netizen kerana berpendapat kelakuan sebegitu tidak sepatutnya dipamerkan di atas padang, baik dalam aksi profesional mahu pun amatur.
Malah difahamkan, ini kali kedua pasukan berkenaan terlibat dalam kontroversi kerana pada November lalu di mana salah seorang pemainnya melakukan aksi kung fu ketika cuba merebut bola daripada pihak lawan.
Kekasaran itu memberi kesan teruk terhadap mangsa kerana dalam sekeping foto tular, kelihatan parut di dada pemain tersebut kerana terkena tapak kasut bola sepak berkenaan.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan kedua-dua pasukan dengan orang ramai berharap tindakan lebih tegas diberikan penganjur Arena Champion League bagi mengelak isu sama berulang. – MalaysiaGazette