Keenam-enam warga asing yang ditahan dalam serbuan di salah satu kediaman di Rantau Panjang, semalam. Ihsan Foto : PGA

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Barol Pial, Rantau Panjang, Kelantan, semalam.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, seramai enam lelaki yang dipercayai warga Myanmar telah ditahan dalam serbuan yang dijalankan pada jam 6 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat daripada mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan yang sah.

“Kesemua mereka dipercayai diseludup masuk ke Malaysia menggunakan jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dua lagi lelaki warga Myanmar berusia 32 dan 50 tahun yang turut ditahan dipercayai telah bertindak sebagai tekong yang membawa masuk PATI ke negara ini.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya turut merampas dua kad UNHCR dan sebuah telefon bimbit.

“Semua suspek telah ditahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala kedua-dua tekong di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Mereka telahpun diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here