Kompleks Mahkamah Taiping, Perak

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengawal keselamatan berusia 28 tahun mendapat ganti rugi berjumlah RM1.8 juta ekoran kecuaian perubatan Hospital Taiping, Perak dan empat yang lain ketika memberikan rawatan akibat kemalangan sehingga menyebabkan otaknya mengalami kecederaan kekal.

Mahkamah Tinggi Taiping, Perak membenarkan tuntutan saman P. Thinnagaran terhadap Kerajaan Malaysia, pengarah hospital berkenaan dan tiga doktornya serta memerintahkan defendan-defendan secara bersama membayar kesemua ganti rugi.

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin membenarkan tuntutan samannya terhadap liabiliti dan kuantum selepas mendapati lelaki itu berjaya membuktikan kesnya berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Mahkamah berpuas hati, Kerajaan Malaysia (defendan pertama) bertanggungjawab terhadap kecuaian defendan kedua hingga kelima yang merupakan ejen kerajaan.

Bagaimanapun, kelima-lima defendan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan notis rayuan difailkan pada 2 Ogos lalu.

Pada prosiding 4 Julai lalu, Hakim Noor Ruwena memberikan antaranya ganti rugi am RM350,000, ganti rugi khas pertama RM134,979.04 dan kedua sebanyak RM59,979, kehilangan pendapatan RM153,600, ganti rugi tambahan RM300,000 serta kos RM150,000.

“Otak plaintif tidak mendapat oksigen yang sepatutnya melebihi 12 jam ketika menunggu untuk distabilkan yang menyebabkannya mengalami kecederaan kekal,” ujar beliau dalam penghakiman bertarikh 24 Disember lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.

Dalam penghakiman setebal 69 muka surat, beliau berkata, kerosakan kekal antara lain kepada otak plaintif boleh dielakkan sekiranya defendan mendiagnosisnya dengan betul, merawat dan memantau dengan lebih dekat selepas dia dimasukkan ke Hospital Taiping akibat kemalangan kenderaan bermotor kira-kira pukul 1.05 petang, 2 Januari 2016.

Keterangan kes menyatakan, plaintif yang menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan dengan kereta di Jalan Transkrian ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Mangga, Juru menghala ke Parit Buntar.

Plaintif pada asalnya dibawa ke Hospital Parit Buntar sebelum dirujuk ke Hospital Taiping kira-kira pukul 6 petang dan dimasukkan ke Wad Otopedik.

Plaintif kemudian diperiksa kira-kira pukul 6.46 petang bagi mengelakkan Sindrom Embolisme Lemak (FES) ekoran stuktur tulangnya patah dalam tempoh yang lama.

Untuk rekod, FES berpotensi mengancam nyawa dan berlaku apabila gumpalan lemak memasuki aliran darah dan menyekat aliran darah.

Pasukan anestetik kemudian membuat keputusan supaya dia diintubasi sebelum menjalani pembedahan pada 8 malam, 3 Januari 2016.

Plaintif dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa pada 23 Januari 2016 iaitu selepas 20 hari. MRI yang dijalankan sehari sebelum itu menunjukkan plaintif mengalami Hypoxic Ischaemic Encelopathy (HIE) atau kecederaan otak kerana tidak mendapat oksigen dan darah mencukupi.

Mahkamah menerima keterangan seorang pakar yang menyatakan sekiranya pihak hospital menjalankan pembedahan untuk menstabilkan tulang patah pada petang 2 Januari, risiko FES berlaku boleh dikurangkan.

“Mahkamah turut berpuas hati dengan keterangan doktor pakar bahawa plaintif sepatutnya diintubasi lebih awal,” ujar beliau.

Ujar hakim itu, saksi defendan sendiri menyatakan bahawa plaintif sepatutnya dirujuk ke ICU apabila dia mengantuk dan proses intubasi dilakukan lebih awal bagi meningkatkan pengoksigenannya.

Ujar beliau, pemantauan yang tidak mencukupi oleh pihak hospital secara kolektif pada malam 2 Januari 2016 dan kegagalan menjalankan pembedahan dalam tempoh 24 jam dari kemalangan, telah memburukkan FES.

Mahkamah menerima keterangan saksi bahawa kehilangan sejumlah besar tisu otak memberikan impak serius kepada pesakit menyebabkannya kehilangan mobiliti dan fungsi badan dalaman.

Hakim Noor Ruwena selanjutnya berkata, plaintif menderita kesihatan mental menyebabkan kognitifnya merosot selain tertekan dan terpaksa bergantung pada orang lain untuk urusan peribadi dan keperluan.

Ujar beliau, plaintif masih memerlukan bantuan ibu sebagai penjaga dan wanita itu yang berpendapatan RM1,300 sebulan, terpaksa berhenti kerja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here