Kamariah Daud bersama anaknya, Nor Eishaty Rhadiah Khamis yang terbaring di katilnya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Chengal Lempung, Kuantan di sini.

KUANTAN – Bermula dengan hanya sakit di bahagian betis, seorang ibu tidak menyangka anak perempuannya disahkan menghidap barah paru-paru tahap empat sejak Mac lalu.

Kamariah Daud, 68, berkata, keadaan kesihatan anak kelimanya, Nor Eishaty Rhadiah Khamis, 38 semakin merosot dan beliau tidak lagi mampu untuk bangun daripada katil.

Kamariah berkata, anaknya itu mula mengalami bengkak di bahagian betis dan setelah ke klinik berdekatan untuk diperiksa, anaknya disaran melakukan pemeriksaan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Selepas proses X-ray, barulah tahu rupa-rupanya ada masalah di bahagian paru-paru. Terkejut, sebab keluarga kami tiada yang ada sejarah kanser,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chengal Lempung, di sini, hari ini.

Selepas mengetahui penyakit yang dihidapi, Nor Eishaty Rhadiah perlu berulang alik ke hospital setiap dua minggu untuk mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan.

Bagaimanapun, sejak sebulan yang lepas, katanya, Nor Eishaty Rhadiah tidak berdaya lagi bangun untuk ke hospital.

“Dia (Nor Eishaty) mengadu rasa sakit sangat badan ketika nak bergerak. Ada masa-masa yang dia rasa susah bernafas juga. Nak bercakap pun tak larat sangat,” kata ibu kepada 12 anak itu.

Nor Eishaty Rhadiah Khamis ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini

Kamariah memberitahu, disebabkan itu, dia cuba untuk mendapatkan sumbangan alat bantuan pernafasan (ventilator) daripada pihak-pihak tertentu, namun masih menunggu kelulusan.

Kata beliau, anaknya itu turut memerlukan bantuan daripada aspek kewangan kerana mereka sekeluarga tidak mempunyai sumber pendapatan tetap bagi menampung kos rawatan dan keperluan Nor Eishaty Radhiah.

“Selain alat bantu pernafasan, memang nak minta bantuan juga untuk kos beli lampin pakai buang, tisu untuk dia. Sebab dalam anggaran minimum RM300 juga diperlukan setiap bulan untuk keperluan tu.

“Dan saya baru juga nak memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kalau boleh. Sebelum ni pun adik beradik dia (Nor Eishaty) yang kumpul duit tolong. Tapi masing-masing pun ada keluarga sendiri,” ujarnya.

Difahamkan, suaminya Khamis @Abu Bakar Mohd Nor, 75 pula menghidap penyakit darah tinggi, angin ahmar dan dementia yang turut memerlukan perhatian.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan berbentuk kewangan boleh menyelurkannya kepada ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Nor Eishaty Rhadiah Binti Khamis bernombor 06114-41-00007271-4 – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here