KUALA LUMPUR – Pembela Ummah Malaysia (UMMAH) menyifatkan saman yang difailkan Hannah Yeoh, terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi gambaran tindakan tersebut tidak berasas, tegas Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH).
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, keputusan mahkamah jelas membuktikan ucapan yang dikeluarkan Musa bahawa Evangelist Group mempuyai hubungan dengan DAP adalah benar, dan Menteri Belia dan Sukan itu mempunyai niat untuk menyebarkan agama Kristian dan menegakkan Kristian di negara ini yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan mahkamah ini mengukuhkan lagi kedudukan Tan Sri Musa Hassan dan menunjukkan bahawa tuduhan yang dibuat oleh Hannah Yeoh adalah tidak berasas dan tidak berlandaskan fakta yang kukuh.
“UMMAH komited dalam memelihara integriti dan ketelusan dalam kepimpinan negara, menganggap tindakan saman tersebut sebagai satu langkah yang mencemarkan nama baik serta kredibiliti seorang Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, bekas Naib Canselor dan bekas Pengerusi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah mengajurkan supaya Hannah berundur daripada jawatan Menteri kerana keputusan penghakiman membuktikan beliau telah gagal memenuhi tuntutan sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi, dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Sehubungan itu, pihaknya mendesak agar Hannah mengambil tanggungjawab atas tindakan beliau dan dengan serta-merta meletakkan jawatan sebagai Menteri Kabinet Malaysia.
“Keputusan mahkamah yang menolak samannya menunjukkan bahawa tuduhan beliau adalah tidak berasas, dan sebagai seorang pemimpin, adalah wajar bagi beliau untuk mengundurkan diri bagi menjaga kredibiliti dan integriti kerajaan Malaysia.
“Hannah Yeoh, sebagai seorang Menteri, seharusnya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan dan kenyataan yang dibuat, terutamanya apabila melibatkan individu berprofil tinggi seperti Tan Sri Musa Hassan yang telah banyak berjasa dan berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk negara.
“UMMAH juga percaya bahawa keputusan mahkamah ini memberi pengajaran kepada semua pihak bahawa sebarang tuduhan atau dakwaan yang dibuat tanpa bukti yang kukuh hanya akan mengundang persepsi buruk kepada reputasi dan kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi yang dipimpinnya,” kata Mohd Zai lagi.
Isnin lalu, Hannah yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP kalah dalam kes saman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung kenyataan pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), empat tahun lalu.
Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Segambut itu dan memerintahkan Hannah selaku plaintif untuk membayar kos RM40,000, selepas mendapati beliau gagal membuktikan kenyataan terbabit secara keseluruhan merujuk kepada beliau dan Musa (defendan) bertanggungjawab atas penerbitannya. – MalaysiaGazette