MANJUNG – Kereta yang dinaiki empat sekeluarga dipercayai terbabas sendiri dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik menjadi punca dalam nahas yang mengakibatkan dua beranak maut di Kilometer 212.3 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.30 pagi melibatkan kereta Perodua Kelisa, Proton Wira dan sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati, kereta Perodua Kelisa yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun bersama tiga penumpang dipercayai dalam perjalanan dari arah utara menuju ke selatan sebelum terlibat dalam kemalangan itu.
“Kereta Perodua Kelisa itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sendiri dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di tengah-tengah jalan sehingga mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak keluar dari kenderaan berkenaan.
“Kemudian, sebuah kenderaan lain yang tidak dikenal pasti tidak sempat mengelak lalu telah melanggar kanak-kanak tersebut.
“Selepas itu, kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta Produa Kelisa.
“Kemalangan ini mengakibatkan pemandu kereta Perodua Kelisa cedera manakala penumpang kenderaan itu, seorang wanita berusia 24 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Nur Syafiqah Baharudin di talian 012-637 5962 atau 05-689 9072,“ ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, seorang wanita bersama anak lelakinya maut manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan tersebut.
Mangsa maut dikenali sebagai Nor Fadhilah Mohd Azlan dan anak lelakinya, Muhammad Iman Irfan Mohammad Shuqur.
Empat mangsa lain yang cedera adalah pemandu dan penumpang kereta Perodua Kelisa dan pemandu serta penumpang kereta Proton Wira yang berusia antara tiga hingga 31 tahun.
Mereka yang cedera dibawa ke Hospital Manjung untuk mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette
Wanita, anak maut dalam nahas dua kenderaan di Lebuhraya WCE