KUALA LUMPUR – Seorang pelajar warganegara asing ditemui maut selepas dipercayai tergelincir dari tingkat 33 sebuah apartment di Kajang, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusuf berkata, mangsa dikatakan cuba keluar melalui tingkap tandas kerana pintunya mengalami kerosakan.
“Menurut laporan, polis telah menerima panggilan daripada orang awam pada jam 6.34 petang memaklumkan penemuan seorang individu terbaring di koridor tingkat 12 apartmen tersebut dengan keadaan berlumuran darah.
“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan pasukan forensik PDRM turut hadir ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 19 tahun itu merupakan seorang pelajar universiti awam tempatan.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
“Laporan bedah siasat yang dilakukan pada pagi ini mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan serius kerana jatuh dari tempat tinggi.
“Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya.
Tambahnya, orang yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette