Kemalangan melibatkan tiga kenderaan dan menyebabkan tujuh nyawa terkorban di KM 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, malam tadi.

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad yang mengendalikan lebuh raya utara selatan digesa memberi perhatian serius di lokasi-lokasi gelap yang kerap menjadi kawasan maut kepada para pengguna jalan raya.

Selain faktor kecuaian pemandu, jalan yang gelap juga antara faktor menyumbang kepada kemalangan.

Umi Kalsum Zakaria

Seorang peniaga wanita, Umi Kalsum Zakaria, 42, yang mengulas tragedi nahas yang menyayat hati di Melaka, baru-baru ini mendakwa, laluan lebuh raya PLUS dari Senawang hingga ke Melaka tiada lampu jalan.

“Kawasan kemalangan baru-baru ini pun tiada lampu jalan, memang gelap. Selain itu, jalan tersebut juga beralun.

“Jadi, demi keselamatan ribuan pengguna, PLUS perlu meletak dan memperbanyakkan lampu di kawasan-kawasan berisiko.

“Kalau ada lampu, ia boleh membantu pencahayaan kepada para pemandu ketika memandu malam, bukan sahaja kepada kenderaan berat tetapi kenderaan lain juga.

“Jika ada lampu jalan, mudahkan pengguna lihat keadaan di hadapan, sekitar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Lantaran itu, beliau mahu tragedi yang mengorbankan tujuh nyawa baru-baru ini dijadikan iktibar bukan sahaja kepada pengguna tetapi pengendali lebuh raya tersebut.

Umi Kalsum turut meluahkan rasa kesal terhadap sikap sesetengah pemandu kenderaan yang sering memandu secara melulu dan melebihi had laju yang dibenarkan, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Ada lori-lori besar memandu terlalu laju dan duduk laluan kanan, ini memang menakutkan. Kadang-kadang kita sendiri pun terpaksa bagi memberi ‘lampu tinggi’ demi keselamatan sendiri.

“Bukankah kenderaan berat perlu mengikut laluan kiri, tapi adakah semua ikut?,” tambahnya.

Farid Md Yusof

Seorang lagi pengguna lebuh raya, Muhammad Farid Md Yusof, 32, pula tidak menolak sikap cuai dalam penyelenggaraan kenderaan berat menjadi punca berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti tayar pecah.

Katanya, isu-isu teknikal melibatkan kenderaan berat ini tidak boleh dipandang ringan kerana impaknya cukup besar kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Keselamatan kenderaan masing-masing merupakan tanggungjawab syarikat (pemilik) dan pemandu. Pihak-pihak ini perlu peka dan bertanggungjawab dalam memastikan kenderaan dikendalikan dengan selamat demi nyawa sendiri dan orang lain.

“Kalau nak diikutkan, pemandu lori sendiri pun tak nak kemalangan kan? Sebab saya pun dulu pernah bawa lori.

“Tapi kenalah selenggara kenderaan dibawa, itu adalah tanggungjawab dan komitmen daripada pihak lori sendiri. Pada saya penguatkuasaan sudah tegas, cuma syarikat lori perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Pernah mengendalikan lori di jalan raya, Muhammad Farid berkata, satu lagi perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah sentiasa bersabar di jalan raya dan mengutamakan keselamatan pengguna jalan yang lain.

“Jika perkara ini diamalkan, kita sebenarnya dapat mengurangkan kemalangan,” ujar beliau.

Azrul Abdul Karim

Bagaimanapun, seorang pengguna jalan raya, Azrul Abdul Karim, 43, mahu pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat susulan trend peningkatan nahas melibatkan kenderaan berat sejak kebelakangan ini.

“Kesedaran tentang keselamatan pengguna jalan raya memang penting, tetapi penguatkuasaan yang lebih ketat juga perlu diberi perhatian sama. Saya berpendapat isu keselamatan ini memerlukan kerjasama semua pihak apatah lagi jumlah kenderaan semakin bertambah dan jalan tetap sama.

“Tanpa penguatkuasaan yang tegas, banyak pengguna jalan raya mengabaikan peraturan dan keselamatan, yang akhirnya membawa kepada kemalangan tragis,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here