KUALA LUMPUR – Seramai 10,000 orang dijangka akan turun menyertai gerakan gempur rasuah yang dianjurkan oleh Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 31 Disember ini.
Timbalan Pengerusi Dua HARAM, Muhammad Zaim Zulkifli Ariff berkata perhimpunan ini merupakan peluang untuk semua pihak bersatu dalam usaha melawan rasuah dan memperjuangkan sistem yang lebih telus.
“Kami mahu menunjukkan kepada dunia bahawa mahasiswa dan rakyat Malaysia tidak akan berdiam diri apabila terjadinya sesuatu yang mencabar integriti negara.
“Mahasiswa perlu menjadi ejen semak dan imbang dalam masyarakat. Jika bukan kita yang pimpin, siapa lagi yang akan pikul tanggungjawab ini?.
“Kita tidak boleh membiarkan korupsi berteurusan dan menjejaskan masa hadapan negara kita,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.
Koordinator HARAM bagi negeri Sabah, Hamdin Nordin pula menambah bahawa protes ini bukan sahaja untuk menuntut keadilan tetapi menyedarkan rakyat betapa pentingnya ketelusan dalam sesuatu pentadbiran.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk terus menyuarakan pendirian kami, termasuk turun ke jalanan demi memastikan keadilan ditegakkan.
“Rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda sudah lali dengan sikap acuh tidak acuh terhadap isu rasuah dan kini tibanya untuk suatu perubahan,” ujarnya.
Hamdin turut berharap bahawa gerakan ini diharap dapat membuka mata pemimpin negara terhadap perlunya reformasi secara besar-besaran dalam sistem pentadbiran agar rasuah tidak memusnahkan masa depan negara. – MalaysiaGazette