KUALA LUMPUR – Cubaan dua lelaki melarikan diri dari sekatan jalan raya dan merempuh kereta peronda polis (MPV) tidak berhasil apabila ditahan di Jalan PJU 1A/1, Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, dalam kejadian jam 11.32 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 29 dan 30 tahun telah bertindak melanggar seorang penunggang motosikal sebelum ditahan.
“Kejadian bermula di Kilometer (KM) 16, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) apabila kedua-dua suspek yang menaiki kereta Proton Satria yang memandu secara melawan arus kerana cuba lari daripada sekatan polis.
“Susulan itu, polis peronda bertindak mengejar kenderaan suspek sehingga Jalan PJU 1A/1 sebelum melanggar MPV polis dan sebuah motosikal ditunggang orang awam yang akhirnya suspek berjaya ditahan pasukan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Shahrulnizam lagi, hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan sejumlah dadah jenis syabu anggaran berat 12.87 gram dan alat renjatan elektrik.
“Hasil semakan mendapati, suspek pertama merupakan pemandu kereta mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk dadah manakala suspek kedua memiliki satu rekod jenayah lampau.
“Kedua-dua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307/186/279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya 1958.
Kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai laporan sebarang kejadian jenayah atau individu mencurigaka di daerah ini boleh lapor kepada polis dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – MalaysiaGazette