Keadaan MPV yang remuk tersepit antara bas dan treler yang mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, malam tadi

Oleh: Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor & Prof. Madya Dr. Nuruliza Roslan

KEMALANGAN jalan raya terus menjadi isu serius di Malaysia yang telah mengorbankan ribuan nyawa saban tahun. Statistik laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan jumlah kemalangan, dengan lebih 400,000 kes dilaporkan pada tahun 2023, melibatkan hampir 6,000 kematian.

Sebahagian besar mangsa terdiri daripada penunggang motosikal, yang menyumbang lebih 60% daripada jumlah keseluruhan. Keadaan ini lebih membimbangkan apabila banyak kemalangan berlaku di kawasan bandar dan lebuh raya utama seperti PLUS dan LPT, terutamanya semasa cuti panjang dan musim perayaan.

Seluruh negara dikejutkan dengan kes kemalangan ngeri yang berlaku baru-baru ini, membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Alor Gajah, Melaka. Ia telah mengorbankan tujuh mangsa termasuk kanak-kanak berusia dua tahun. Kejadian membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza itu turut menyebabkan 33 mangsa lain cedera.

Salah satu punca utama kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu yang tidak berhemah. Antaranya, pemanduan laju yang melampaui had kelajuan sering menyebabkan kemalangan serius. Selain itu, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, walaupun telah diwartakan sebagai kesalahan, masih menjadi kebiasaan yang membahayakan.

Pemandu yang mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah juga menyumbang kepada kemalangan, terutama pada waktu malam dan hujung minggu. Keletihan turut memainkan peranan penting, terutamanya dalam perjalanan jarak jauh, apabila pemandu hilang kawalan akibat kurangnya rehat yang mencukupi.

Di samping itu, penyelenggaraan kenderaan yang tidak sistematik turut menjadi faktor utama. Masalah seperti sistem brek yang gagal berfungsi, tayar yang haus, dan lampu isyarat yang rosak sering diabaikan oleh pemilik kenderaan.

Kenderaan berat seperti lori dan bas juga kerap terlibat dalam kemalangan akibat muatan berlebihan atau kegagalan mekanikal. Kes seperti lori yang kehilangan kawalan di kawasan berbukit sering dilaporkan, menyebabkan kematian dan kecederaan parah. Kegagalan pemeriksaan berkala serta sikap sambil lewa pemilik kenderaan terhadap aspek penyelenggaraan menjadikan situasi ini semakin buruk.

Untuk mengurangkan kadar kemalangan, pelbagai langkah perlu diambil dengan lebih serius. Semua pihak harus mengambil peranan masing-masing secara proaktif. Pertimbangkan untuk membuat perbandingan, penandaarasan dan imitasi terhadap usaha negara-negara lain yang telah menunjukkan kejayaan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya melalui pelbagai kaedah yang inovatif dan berkesan.

Dari segi perundangan, kebanyakan negara lain menguatkuasakan undang-undang lalu lintas dengan sangat ketat, termasuk hukuman denda yang tinggi, pemotongan mata lesen, dan larangan memandu untuk kesalahan serius seperti memandu dalam keadaan mabuk atau melanggar had laju. Sebagai contoh, Sweden memperkenalkan program “Vision Zero” yang menetapkan sasaran tiada kematian atau kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya, disokong oleh rangka kerja undang-undang yang tegas.

Dari sudut teknologi, negara seperti Jepun dan Jerman memanfaatkan sistem keselamatan kenderaan canggih, seperti sistem brek automatik, kawalan kestabilan elektronik, dan sensor amaran perlanggaran, yang kini menjadi standard dalam banyak kenderaan baharu. Infrastruktur jalan raya juga ditingkatkan dengan penggunaan teknologi pintar, seperti kamera trafik automatik dan sistem pengurusan lalu lintas berasaskan kecerdasan buatan untuk mengesan dan mengurangkan kesesakan.

Peranan media massa dan media sosial terbukti memberikan kesan yang mendalam terhadap kesedaran pengguna jalan raya. Kempen keselamatan jalan raya perlu disiarkan secara konsisten di televisyen, radio, dan media sosial, dengan pendekatan yang kreatif dan mempengaruhi emosi untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.

Di Australia, contohnya, iklan televisyen yang memaparkan akibat tragis kemalangan jalan raya telah berjaya menanam rasa tanggungjawab dalam kalangan pemandu. Selain itu, pendidikan keselamatan jalan raya diperkenalkan di peringkat sekolah untuk membina kesedaran sejak usia muda, sementara program latihan memandu diwajibkan untuk pemegang lesen baharu di negara seperti Singapura dan Norway.

Dalam kalangan masyarakat di negara-negara lain ini pula, budaya mematuhi peraturan jalan raya sering kali diterapkan melalui sokongan masyarakat setempat yang aktif menyokong langkah-langkah keselamatan. Negara-negara maju  ini menunjukkan pendekatan holistik, yang menggabungkan perundangan, teknologi, pendidikan, dan penglibatan masyarakat, sebagai  kunci utama untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya secara berkesan.

Penguatkuasaan undang-undang harus dipertingkatkan, termasuk penggunaan kamera pengesan had laju dan pemeriksaan mengejut terhadap pemandu yang melanggar peraturan. Kempen keselamatan jalan raya juga perlu dijalankan secara berterusan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat. Program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah boleh membantu mendidik generasi muda tentang kepentingan sikap berhemah semasa memandu.

Kerajaan perlu memastikan semua kenderaan menjalani pemeriksaan berkala yang ketat, terutamanya kenderaan berat. Sistem pemeriksaan seperti yang diamalkan di negara maju boleh dijadikan model untuk memastikan setiap kenderaan berada dalam keadaan selamat. Infrastruktur jalan raya juga perlu diselenggara dengan baik.

Jalan yang rosak, papan tanda yang tidak jelas, dan kekurangan lampu jalan menjadi penyumbang kepada kemalangan. Peningkatan teknologi kenderaan seperti penggunaan sistem brek anti-kunci (ABS), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan kamera pandang belakang perlu digalakkan terutamanya dalam pengeluaran kenderaan baharu. Insentif boleh diberikan kepada pengguna untuk menggalakkan pembelian kenderaan dengan teknologi keselamatan terkini.

Kemalangan jalan raya bukan sahaja meragut nyawa tetapi juga membawa kesan ekonomi dan emosi yang besar kepada keluarga mangsa serta masyarakat. Melalui penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, kempen kesedaran yang berterusan, serta kerjasama antara kerajaan, masyarakat, dan sektor swasta, kadar kemalangan jalan raya diyakini dapat dikurangkan. Usaha ini bukan sahaja penting untuk keselamatan di jalan raya tetapi juga untuk kesejahteraan negara secara keseluruhan.

Dr. Khairunneezam adalah Felo Bersekutu, Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia dan Dr. Nuruliza, Timbalan Dekan,  Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here