Thaksin Shinawatra (kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra mengadakan pertemuan semalam.

Dalam pertemuan itu, berlangsung perbincangan panjang lebar berkaitan beberapa perkara penting termasuk peranan Thaksin selaku penasihat tidak rasmi kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Menurut Anwar, perbincangan turut menyentuh isu kritikal serantau, merangkumi usaha melonjak ekonomi, perkembangan teknologi baharu, merintis usaha damai di Selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar.

“Kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimiliki di rantau ini, membolehkan beliau memainkan peranan dan membuka peluang-peluang penting buat Malaysia dan ASEAN bagi berdepan cabaran-cabaran ini dengan penuh yakin dan berkesan,” kata Anwar dalam kenyataan.

Tambah Perdana Menteri, kedua-dua mereka turut bertukar pandangan berkaitan usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia dan Thailand.

Ia selaras dengan visi dan persefahaman seperti mana yang Anwar kongsikan bersama-sama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

“Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini. Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” kata Anwar.

Pada 15 Disember lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan negarawan sepertinya untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.

“Saya juga bersetuju untuk melantik beliau (Thaksin) sebagai penasihat peribadi saya, (membantu Malaysia sebagai) Pengerusi ASEAN, bersama pasukan dari negara ASEAN dalam kerangka tidak rasmi.

“Terima kasih kerana (Thaksin) bersetuju dengan perkara ini, kerana kami memerlukan manfaat daripada pengalaman seorang negarawan seperti beliau,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast