KUANTAN – Pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) diseru lebih proaktif memantau dan menguatkuasakan pemdaftaran penternak haiwan ternakan di kawasan tanah rancangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain berkata, ia bagi mengatasi isu kemalangan membabitkan haiwan ternakan yang semakin meningkat di kawasan itu.
“Isu ternakan berkeliaran ini adalah isu yang saya kira dah lama. Tapi, saya lihat akhir-akhir ni haiwan ternakan ini semakin banyak.
“Saya rasa sudah sampai masa pihak pengurusan Felda uruskan penternak di bawah Felda ini agar aktitivi ternakan dapat diselaraskan dengan baik,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Felda Chini Timur, dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, pihak pengurusan Felda perlu turun padang dan memastikan para penternak yang terdiri kebanyakannya daripada peserta tanah rancangan mendaftarkan haiwan ternakan mereka dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Kerjasama kedua-dua pihak ini katanya, penting dalam memastikan kawal selia aktiviti penternakan yang lebih efisien dan mengelakkan kejadian haiwan ternakan berkeliaran yang noleh membahayakan pengguna jalan raya.
“Yang penting kita nak hari ini, selain penguatkuasaan daripada segi tangkapan, agar ternakan ini didaftarkan dengan menggunakan kaedah terbaru ‘branding’ agar haiwan ternakan ini senang dikenalpasti.
“Apabila terjadinya kemalangan, kita dapat kenal pasti pemilik yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.
Mohd Sharim berkata, beliau ada mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar mewujudkan kumpulan sukarelawan untuk menangkap haiwan ternakan berkeliaran, namun dimaklumkan ia tidak dapat dilakukan kerana kekangan undang-undang.
Justeru, beliau mencadangkan agar pagar elektrik atau kawad duri dibina di sepanjang jalan berhampiran ladang sawit milik peserta Felda bagi mengelakkan haiwan ternakan melintas jalan.
“Bulan lepas sahaja ada dua kematian akibat langgar lembu di sini. Saya anggarkan dalam tempoh November sehingga Disember ni, tak kurang 15 kemalangan termasuk kemalangan kecil melibatkan langgar lembu yang dilaporkan berlaku.
“Malangnya sukar nak menentukan pemilik haiwan ternakan yang terlibat,” katanya.
Pada 19 Disember lepas, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak memberitahu, satu operasi khas secara besar-besaran akan dilaksanakan di Pahang menjelang tahun 2025 bagi mengekang haiwan ternakan berkeliaran terutama di jalan raya di negeri ini.
Jabatan Veterinar negeri dilaporkan telah meneliti aspek perundangan bagi mewajibkan penandaan ternakan sama ada tagging atau freeze branding melibatkan Akta Binatang atau enakmen negeri bagi menangani isu berkaitan pendaftaran dan penandaan ternakan.
Penambahbaikan perundangan tersebut akan dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri kelak untuk diluluskan. – MalaysiaGazette