KUALA LUMPUR – Tindakan berani seorang lelaki menahan sebuah lori berikutan tayar kenderaan itu hampir tercabut di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Ayer Keroh, Melaka mendapat pujian daripada semua pihak.
Ia susulan tular video pada 25 Disember lalu yang memaparkan Kamarul Ekhsan Abdul Ghani, 49, ketika melalui Lebuhraya Plus dari Seremban menghala ke Johor ternampak sebuah lori mengalami kerosakan tayar di bahagian belakang sebelah kanan.
Memikirkan nyawa dan keselamatan pengguna lain, Kamarul Ekhsan mengambil keputusan memintas lori itu dan meminta pemandunya berhenti di lorong kecemasan.
Beliau kemudian menunjukkan ke arah tayar kenderaan terbabit yang berada dalam keadaan gelong atau bergoyang.
Berikutan atas sikap keprihatinan mekanik itu bagi mengelakkan musibah lebih teruk berlaku hingga kehilangan nyawa, Kamarul Ekhsan telah dianugerahkan sijil penghargaan atas keranian dan tindakan pantasnya.
Penghargaaan itu disampaikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, hari ini. – MalaysiaGazette