Pesalah khalwat, Mohd Affendi Awang, 42, dibawa keluar selepas menjalani hukuman sebat di khalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Ladang), Kuala Terengganu. Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 DISEMBER 2024

KUALA TERENGGANU – Hukuman sebatan terhadap pesalah khalwat berulang dilaksanakan dengan lancar pada jam 3 petang tadi bertempat di Masjid Al Mukhtafi Billah Shah, Ladang, di sini.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata pelaksanaan hukuman sebatan terhadap pemuda berusia 42 tahun dilakukan di hadapan oleh 66 individu jemputan yang hadir di masjid itu.

ACP Azli Mohd Noor

Menurutnya hukuman tersebut dijalankan mengikut peruntukan Undang -undang Syariah, dilaksanakan dengan pemantauan rapi  oleh seramai 64 pegawai dan anggota  Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas.

”Ia bagi memastikan proses berjalan lancar, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, serta menjamin keselamatan semua pihak termasuk pegawai yang bertugas, individu yang dihukum, dan masyarakat umum.

”Pelaksanaan ini adalah sebahagian daripada usaha bersama pihak berkuasa dalam memastikan Undang – undang Syariah dipatuhi dan dihayati dalam kalangan masyarakat Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tertuduh dikenali Mohd Affendi Awang merupakan seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.

Dia merupakan tukang rumah yang berasal dari Kerteh, Kemaman dijatuhkan hukuman selepas mengaku salah berkhalwat kali ketiga dengan seorang wanita berusia 52 tahun di hadapan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail dalam prosiding pada 20 November lalu.

Hukuman itu diputuskan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast