Kuantan terkenal dengan deretan kafe berkonsep atau istilar 'hispter'

KUANTAN – Tidak dapat dinafikan lagi, kewujudan kafe hipster dan ‘port’ mengopi di bandar raya ini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan saban tahun.

Begitu banyak pilihan sehingga bandar raya ini menjadi antara destinasi pilihan persinggahan utama pengunjung dari dalam dan luar negara yang berhasrat bercuti ke pantai-pantai di sini hampir setiap hujung minggu.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man memberitahu, ini memberi impak yang signifikan kepada sektor pelancongan khususnya dalam menjadikan Kuantan sebagai salah satu destinasi gastronomi yang mampu menarik lebih ramai pelancong.

Antara kafe berkonsep yang terdapat di Jalan Besar, Kuantan

IMPAK KEPADA SEKTOR PELANCONGAN

“Setakat Januari hingga September 2024, Kuantan telah menerima seramai 1.5 juta orang pelancong dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.4 juta.

“Angka ini hanya menunjuk kepada pelancong yang menginap sekurang-kurangnya satu malam, tanpa memasukkan jumlah pelancong harian yang mungkin jauh lebih besar,”katanya kepada MalaysiaGazette.

Leong Yu Man

Menurutnya, deretan kafe hipster di bandar ini telah menjadi salah satu daya tarikan utama dengan menawarkan pengalaman kuliner yang unik dan pelbagai jenis makanan serta minuman seperti kopi tempatan dan hidangan tradisional di samping memperkenalkan pelancong kepada budaya kopi Malaysia.

Selain itu, lokasi strategik Kuantan dengan seni bina bangunan terpelihara seperti di sepanjang Jalan Besar pula menyajikan suasana yang tepat dan paling sesuai bagi aktiviti santai ‘mengopi’, baik di siang hari mahupun pada waktu malam.

Tidak hairanlah jika terdapat orang ramai beratur panjang di kafe-kafe ini walaupun waktu menunggu boleh mencapai sehingga sejam.

KUANTAN BANDAR ‘EVENT’

Bukan hanya kafe hispter, malah Kuantan turut dikenali dengan jolokan ‘bandar event’ oleh pengunjung dan masyarakat setempat.

Apabila tiba hujung minggu, ada sahaja acara makan-makan mahupun jualan di lokasi-lokasi terkenal di sekitar bandar ini seperti di Padang MBK 1, Serambi Teruntum, Tasek Kotasas, Dataran Teruntum dan Pantai Sepat.

“Contohnya, penganjuran acara Pasar Sera hampir setiap bulan yang menawarkan pengalaman yang unik dengan pelbagai pilihan makanan dan barangan tempatan.

“Ada juga aktiviti budaya seperti “Nyonya Nostalgia” yang telah berjaya menarik para pelancong dari serata Malaysia yang ingin merasai keunikan budaya dan makanan tempatan untuk berkunjung ke Kuantan.

“Bukan itu sahaja, acara dan aktiviti berkaitan kopi juga rancak dijalankan seperti acara Festival Moh Ngopi dan Perhimpunan Kopi bersama Menara Kuantan 188 dan Pasar Sera.

“Dalam acara seperti ini, mereka mengumpulkan pelbagai vendor kopi dan penggemar kopi dari seluruh negara untuk datang berkunjung ke Kuantan sambil mencuba kopi tempatan,” tambahnya.

Dengan cara ini, bukan sahaja komuniti peniaga setempat dapat menjana pendapatan, malah ia dilihat membawa keuntungan kepada negeri, sekaligus melonjakkan sektor pelancongan Pahang – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here