KUALA LUMPUR – Desakan agar Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meletakkan jawatan sebagai Menteri Kabinet berikutan keputusan dan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan saman fitnahnya ke atas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan adalah hak eksklusif Perdana Menteri.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ini kerana pembentukan anggota Jemaah Menteri bagi menjalankan urusan dan pentadbiran kerajaan adalah hak eksklusif Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Itu adalah saya rasa privillidge perdana menteri dan perlu tanya perdana menteri,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke kediaman pelawak veteran, Sathia Periasamy yang lebih dikenali dengan nama pentasnya, Sathiya di Setapak di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas desakan pelbagai pihak termasuk pembangkang mendesak agar menggugurkan Hannah daripada barisan Kabinet atas pengakuan yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.
Sebelum ini, bekas Naib Canselor dan bekas Pengerusi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata, Hannah wajar berundur daripada jawatan menteri kerana keputusan penghakiman membuktikan beliau telah gagal memenuhi tuntutan sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi, dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Sehubungan itu, pihaknya mendesak agar Hannah mengambil tanggungjawab atas tindakan beliau dan dengan serta-merta meletakkan jawatan sebagai Menteri Kabinet Malaysia.
Turut mengambil langkah sama adalah Gerakan Pembela Ummah Malaysia (Ummah).
Mengulas tindakan Hannah yang akan membuat laporan polis berhubung penyebaran video dan mesej yang memberi gambaran kononnya beliau berhasrat untuk memurtadkan orang Muslim atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, Nie Ching yang Ketua Wanita DAP mengakui beliau tidak mempunyai maklumat tentang perkara itu.
“Saya tidak ada maklumat tambahan tentang perkara ini dan boleh rujuk semua kepada kepada kenyataan beliau semalam.
“Beliau sudah keluar kenyataan semalam dan mungkin boleh rujuk dengan beliau dulu,” katanya. – MalaysiaGazette