KUALA LUMPUR – Kelantan Red Warrior (KRW) FC menegaskan kelab itu tiada kaitan dengan pembabitan bekas pemilik Kelantan FC iaitu Norizam Tukiman atau dikenali Zamsaham.
“Rasmi. Tiada penglibatan Zamsaham dalam Kelantan Red Warrior FC.
“Dimiliki dan diuruskan 100 peratus oleh GSK,” tulis kenyataan pengurusan pasukan Pantai Timur itu.
KRW dilancarkan baru-baru ini dengan memperuntukkan RM1 hingga RM2 juta untuk pasukan Kelantan kembali beraksi dalam kancah bola sepak negara.
Presidennya, Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, kelab itu bakal membuat penampilan pertama dalam Liga A1 dan mengesahkan sudah membuat permohonan kepada pihak Liga Bolasepak Amatur (AFL) selain mendapat sokongan KAFA.
Beliau berkata, pihaknya yakin menyediakan perbelanjaan kerana memiliki sumber kewangan yang kukuh termasuk membawa masuk pemain bintang untuk bermain dalam pasukan selain kos pengurusan dan kelab.
Niz Hafiz yang juga Pengerusi GSK berkata, pihak kelab turut mengekalkan logo treble 2012 sebagai identiti KRW dengan sedikit perubahan.
KRW kini memiliki saham kedua terbesar TRW sebanyak lima peratus manakala Norizam memiliki 65 peratus dan baki saham dimiliki 116 pelabur lain yang dikatakan akan berpindah membentuk KRW.
Tindakan ini diambil selepas usaha untuk mengambil alih TRW sepenuhnya daripada Zamsaham gagal.
Awal musim ini, Kelantan FC mengesahkan menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro
Keutamaan pasukan ketika ini adalah untuk menangani isu dalaman seperti melunaskan gaji tertunggak pemain musim lalu serta menyelesaikan kes dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi membersihkan nama baik pasukan itu.
Sebelum ituk Kelantan FC muncul pasukan pertama yang gagal mendapatkan lesen kebangsaan sekali gus tidak dibenarkan beraksi di saingan Liga Super bagi musim 2024-2025 kerana gagal untuk melengkapkan dua kriteria kewangan. – MalaysiaGazette