Dua vesel pukat jerut bilis ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia hari ini. Foto Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Dua vesel pukat jerut bilis ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) secara berasingan di perairan Tabawak dan Kunak di Sabah, semalam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kedua-dua vesel pukat jerut bilis itu ditahan pasukan bot ronda Maritim Malaysia dalam Op Pluto Timur 2/2013.

“Vesel pukat jerut bilis pertama telah ditahan di kedudukan 0.2 batu nautika Kampung Pangi Hujung, Kunak sekitar jam 2.00 petang, manakala vesel kedua ditahan di kedudukan 0.3 batu nautika utara Pulau Majinkil lebih kurang 4.30 petang.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, vesel pertama dikendalikan dua warga tempatan berumur 34 tahun dan 18 tahun bersama hasil tangkapan seberat dua kilogram (KG).

“Vesel kedua pula, dikendalikan dua warga tempatan berumur 36 tahun dan 32 tahun bersama seorang warga Filipina berusia 42 tahun dengan hasil tangkapan ikan tuna seberat 4kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kru, vesel dan hasil tangkapan yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Katanya, pemeriksaan lanjut dokumen mendapati, kedua-dua vesel melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu memukat kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan berdekatan.

“Kesemua kru, vesel dan hasil tangkapan yang dianggarkan bernilai RM188,000 telah dibawa ke jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast