KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas mendakwa sambutan perayaan Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melanggar batas-batas akidah umat Islam.
Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar juga mendakwa, penganjuran tersebut bertentangan dengan prinsip sensitiviti agama yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan pandangan mufti dan garis panduan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti agama Islam, umat Islam diharamkan untuk terlibat secara langsung dalam perayaan agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.
“Hal ini telah dijelaskan secara tegas dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-818 dan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang dikeluarkan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia),” katanya dalam kenyataan.
Khairul Nadzir turut mendakwa menteri terlibat, Nga Kor Ming alpa dalam memahami prinsip-prinsip asas keharmonian agama yang seharusnya dihormati.
Menurut beliau, sambutan di premis kerajaan memberi isyarat salah kepada masyarakat umum terutamanya umat Islam mengenai batasan penyertaan dalam perayaan agama lain.
Beliau bimbang, penganjuran sedemikian akan membuka ruang kepada polemik yang boleh menggugat keharmonian antara agama di Malaysia.
“Justeru, Pemuda Pas Malaysia menyeru agar Menteri KPKT segera menghentikan segala bentuk program atau aktiviti yang melibatkan umat Islam dalam perayaan agama lain.
“Kami juga mendesak pihak kerajaan untuk memperkukuh garis panduan berhubung perkara ini dan memastikan semua menteri dan agensi kerajaan mematuhinya demi menjaga keharmonian dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Semoga tindakan tegas dapat diambil bagi mengelak perkara ini berulang pada masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini Kor Ming dalam perkongsian video di Facebooknya berkata, sambutan Krismas di KPTK adalah bagi meraikan kepelbagaian budaya dalam Malaysia.
Lobi KPKT menurut beliau telah dihiasi dengan hiasan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas sepanjang tahun lalu dan tidak lama lagi akan menampilkan hiasan Tahun Baharu Cina.
“Hari ini, kita meraikan kepelbagaian budaya kita. Kita adalah kementerian pertama yang melakukan ini dan kita tidak akan menjadi yang terakhir,” katanya sambil menyatakan kakitangannya turut terdiri daripada warga Sabah dan Sarawak yang beragama Kristian.
“Inilah keindahan negara kita dan apa yang sebenarnya mengikat kita bersama adalah cinta. Malaysia Truly Asia bukan sekadar slogan, dan ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ juga bukan slogan. Ia sepatutnya menjadi cara hidup kita,” kata Kor Ming.
-MalaysiaGazette