Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Hukuman sebatan depan khalayak ramai tidak melangkaui Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 kerana Prosedur Operasi Standard (SOP) pelaksanaannya telah ditetapkan oleh Jabatan Penjara Bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, SOP melibatkan tahap sebatan dan kehadiran orang yang menyaksikannya dengan tujuan memberi pengajaran diwujudkan menerusi penggubalan  Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Terengganu 2001  sebelum ini.

“Tidak timbul isu hukuman sebat di luar penjara ini melangkaui Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 kerana akta tersebut hanya menghadkan takat hukuman sahaja.

“Ada pun cara hukuman dilaksanakan terjumlah dalam bidang kuasa negeri mengikut Jadual Kesembilan Senarai Kedua butiran 1 iaitu antara lain berkaitan keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah syariah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai hukuman sebatan akan dilaksanakan Terengganu hari ini terhadap pesalah khalwat kali ketiga.

Terdahulu beliau berkata, adalah silap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengatakan sebatan yang akan dilaksanakan itu adalah sebatan di khalayak ramai.

Jelasnya, ia tidak dilakukan di hadapan khalayak awam sebagaimana dilakukan di negara lain.

“Sebatan yang dilaksanakan menurut seksyen 125 tersebut amat berbeza dari hukuman sebatan yang dilaksanakan menurut perintah mahkamah sivil yang menyiksa dan mencederakan. Perincian sebatan syariah ada dijelaskan dalam seksyen tersebut. Ia tidak mencederakan pesalah dan hukuman dilaksanakan dalam keadaan pesalah menutup aurat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Zainul berkata, menurut hukum syarak dalam ayat 2, Surah Annur jelas menyatakan dengan terjemahan bahawa ‘perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi persaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang yang beriman’.

“Oleh itu dalam memenuhi tuntutan al Quran ini sebatan yang dilakukan di dalam penjara tidak dapat memenuhi elemen kesaksian ini. Sebab itulah ia memadai disaksikan oleh sekumpulan dari orang beriman.

“Bukan kehendak al Quran kesaksian dilakukan dikhalayak awam. Persoalan timbul jika umat Islam mempertikaikan ayat ini apakah status keimanan mereka kepada Allah dan hari akhirat?” soal beliau.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hakim berkuasa jatuhkan hukuman sebat di khalayak ramai – Peguam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here