KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 4 Februari tahun depan bagi sebutan kes seorang pelajar senior Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet junior universiti itu menggunakan seterika wap panas.
Hakim Egusra Ali menetapkan tarikh itu terhadap Amirul Iskandar Norhanizan, 22, selepas Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin memaklumkan pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pihak pembelaan dan bakinya akan diserahkan kemudian.
Pada prosiding hari ini, peguam Ramkarpal Singh hadir mewakili tertuduh.
Pada 8 November lalu, Amirul Iskandar didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Salman Mohd. Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Sungai Besi di sini pukul 11.45 malam pada 22 Oktober lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana–mana dua daripada hukuman itu.
Mahkamah ketika itu membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa didakwa ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan 22 Oktober lalu. – MalaysiaGazette.