ARKIB Pesalah khalwat, Mohd Affendi Awang, 42, dibawa keluar selepas menjalani hukuman sebat di khalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Ladang), Kuala Terengganu.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan bersedia untuk melaksanakan hukuman sebat berlandaskan syariah seperti yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Terengganu semalam, apabila mempunyai prosedur operasi standard (SOP) secara terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, pada asasnya Kerajaan Negeri Kelantan juga telah meluluskan perkara yang sama melalui Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) antara lainnya membolehkan hukuman sebat bagi pesalah dijalankan di khalayak ramai.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas pelaksanaan hukuman itu yang disifatkan mendidik masyarakat dengan lebih berkesan dan selaras piawaian hukuman berteras syariah.

“Semua pihak sayugia tidak perlu membuat sebarang naratif mengelirukan apatah lagi berniat tidak baik termasuk mempolitikkan kaedah Syariah yang semuanya telah mengikuti SOP tatacara Syariah.

“Malahan seharusnya semua pihak memberikan sepenuh kepercayaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu untuk melaksanakannya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud. -Foto: FB Mohd Asri Mat Daud

Sementara itu, Mohd Asri turut menyifatkan hukuman sebatan syariah yang telah dilaksanakan di luar penjara secara terbuka oleh Kerajaan Negeri Terengganu semalam adalah langkah mendidik masyarakat secara lebih serius dan berkesan.

Jelasnya, hukuman sebatan syariah yang dijalankan secara tertutup melibatkan kehadiran warden penjara sahaja telah lama dilaksanakan di semua negeri.

“Mengubah pelaksanaan dengan mengadakan hukuman sebat secara terbuka mengikut tatacara syariah melibatkan had kuota 70 orang yang dibenarkan sebagai saksi seumpama yang dilaksanakan di Terengganu adalah langkah yang mengambil roh hukuman syariah dan tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan syariah,” katanya.

Semalam, seorang pesalah khalwat berulang, Mohd Affendi Awang, 42, dihukum sebat sebanyak enam kali dengan disaksikan kira-kira 90 individu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.

Terdahulu, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail membuat keputusan hukuman itu dalam prosiding pada 20 November lalu.

Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Selain enam sebatan, tertuduh juga didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here