MELAKA – Dua anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam nahas mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, malam Isnin lalu sudah dibenarkan keluar Hospital Melaka ekoran kecederaan yang semakin pulih.
Exco Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan adiknya, Nur Sofea Humaira, 4 akan dihantar menaiki ambulans ke rumah keluarga mereka di Bangi, petang ini.
“Muhammad Uwais, 7 tahun dan adiknya Sofea Umairah, 4 tahun akan dibenarkan discharge (keluar hospital) lewat petang ini menaiki ambulans ke Bangi.
“Seorang lagi mangsa kemalangan iaitu pemandu lori muatan pakaian terpakai berusia 27 tahun yang sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka juga sudah sedar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa dijadual menjalani pembedahan kali kedua di paha kanan yang cedera pada minggu pertama Januari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam 23 Disember lalu, tujuh maut manakala 33 lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dan sebuah Perodua Bezza.
Tujuh mangsa maut adalah pemandu Toyota Estima, Khairul Izwan Mazupi, 32, isterinya, Fadzlenna Ramli, 32, kedua ibu bapanya, Fauziah Jaafar, 69, dan Ramli Ab Wahab, 66, serta pemandu pelancong warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.
Turut maut adalah anak pasangan muda itu Muhammad Umar, 2 dan pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56.
Siasatan awal polis mendapati ketika kejadian lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.
Sebaik tiba di tempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai telah tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.
Akibatnya, pemandu bas persiaran itu telah melanggar tayar berkenaan mengakibatkannya hilang kawalan sehingga terbabas ke laluan bertentangan.
Bas berkenaan kemudian merempuh sebuah Perodua Bezza menyebabkan ia terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga itu – MalaysiaGazette