KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu berharap pelaksanaan hukuman sebat syariah yang dilaksanakan di negeri itu dapat menjadi model kepada negeri-negeri lain dalam mengangkat kedudukan undang-undang syariah di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya juga menyeru masyarakat memahami maksud sebenar hukuman itu melalui program pendidikan dan penerangan yang akan dijalankan.
Ujar beliau, sokongan rakyat dan semua pihak amat penting untuk memastikan pelaksanaan hukuman itu berjalan dengan harmoni tanpa sebarang salah faham yang boleh mencetuskan polemik.
“Pelaksanaan hukuman sebatan syariah ini merupakan langkah kecil tetapi signifikan ke arah merealisasikan sebuah pentadbiran yang memartabatkan keadilan Islam secara menyeluruh.
“Semoga usaha ini mendapat keredaan Allah SWT dan menjadi titik tolak ke arah masyarakat yang lebih harmoni dan berdisiplin,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Muhammad Khalil, hukuman sebat syariah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Terengganu merupakan sebahagian daripada komitmen untuk mendukung hukum Islam di negeri dan negara ini.
Katanya, pelaksanaan hukuman takzir di bawah bidang kuasa negeri itu bukan sahaja mencerminkan ketegasan Terengganu dalam melaksanakan undang-undang syariah, tetapi juga bertujuan memelihara kesejahteraan masyarakat serta mendidik umat Islam tentang keadilan dan hikmah dalam perundangan Islam.
Tegas beliau, pelaksanaan sebatan syariah di masjid itu perlu ditekuni dengan mendalam kerana ia menitik-beratkan prinsip keadilan, kasih sayang dan mendidik, bukan semata-mata untuk menghukum.
Tambahnya, proses pelaksanaan hukuman itu juga mematuhi syarat-syarat yang digariskan oleh hukum Islam termasuk penggunaan alat sebatan yang ringan dan pelaksanaan yang tidak mencederakan fizikal, berbeza dengan sebatan sivil yang dilihat lebih menyeksa pesalah.
“Langkah ini merupakan salah satu usaha Terengganu untuk memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, sejajar dengan aspirasi rakyat yang mahukan pelaksanaan undang-undang Islam secara holistik,” katanya.
Semalam, seorang pesalah khalwat berulang, Mohd Affendi Awang, 42, dihukum sebat sebanyak enam kali dengan disaksikan kira-kira 90 individu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Terdahulu, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail membuat keputusan hukuman itu dalam prosiding pada 20 November lalu.
Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Selain enam sebatan, tertuduh juga didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu. – MalaysiaGazette