Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Mungkin sudah tiba masanya untuk Peguam Negara (AG) berhadapan dengan wakil-wakil rakyat di Parlimen atau anggota Kabinet secara berkala.

Pandangan itu disuarakan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha sedaya mungkin untuk tidak masuk campur dalam bidang kuasa perundangan dan kehakiman.

Sehubungan itu, tambah beliau, adalah lebih baik sekiranya AG  mempunyai akauntabiliti di hadapan rakyat yang diwakili oleh Ahli-ahli Parlimen.

“Banyak isu berkaitan keputusan dan pertuduhan yang tidak sabit, dilepaskan dan tidak kuat mutakhir ini di mana PMX (Anwar) dan kerajaan (Eksekutif) tidak mahu masuk campur dan bersikap lepas tangan.

“Mungkin telah sampai waktu untuk AG (Peguam Negara) berhadapan dengan wakil-wakil rakyat di Parlimen ataupun anggota kabinet secara berkala,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Maszlee turut membuat perbandingan dengan negara seperti Ireland, Scotland dan Wales yang mana menurut beliau, AG di negara berkenaan merupakan Ahli Parlimen yang tidak diundi melalui pilihan raya dan tidak boleh mengundi, tetapi terikat dengan beberapa tatacara dan kod Ahli Parlimen.

Di United Kingdom (UK) pula, tambah beliau, AG adalah kuorom hadir Kabinet walaupun bukan anggota Kabinet.

“Contoh ini semua boleh dijadikan panduan perundangan awalan (stare decisis) jika kita ingin memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem perundangan.

“Saya bukanlah pakar dalam bidang perundangan, namun cadangan Dato Zaid (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim) ini wajar diberikan perhatian dan dibincangkan oleh pakar (dan bukan palatao dan cytros),” katanya.

Sebelum ini, Mohd Zaid mencadangkan kerajaan mengambil langkah untuk mengelakkan kejadian terburu-buru dalam pendakwaan kes-kes politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan melantik AG yang juga Pendakwa Raya dalam kalangan ahli Parlimen seperti dilakukan di England.

Mohd Zaid berkata, cadangan tersebut adalah satu-satunya cara untuk memastikan Peguam Negara bertanggungjawab atas keputusan yang dilakukan Pejabat Pendakwa Raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here