KUALA LUMPUR – Sebuah kolam takungan bersebelahan Taman Seri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh hari ini pecah dan menjadi punca limpahan air keluar ke kawasan perumahan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.15 petang tadi.
Susulan itu, seramai lima pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, M. Kirushnan berkata, banjir disebabkan benteng takungan air bersebelahan taman perumahan itu telah pecah dan air melimpah keseluruhan taman pada paras satu kaki.
“Bagaimanapun kerja-kerja pemindahan mangsa yang terjejas sedang giat dijalankan bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di Facebook Saujana Utama memaparkan kawasan perumahan telah banjir teruk akibat dinding kolam takungan pecah.
Menerusi ruangan komen, rata-rata pengguna menasihatkan orang ramai supata tidak melalui kawasan terbabit kerana berlaku kelihatan kesesakan jalan raya untuk memasuki kawasan itu. – MalaysiaGazette