KOTA TINGGI – Keluarga kepada pemandu lori yang ditemukan mayatnya dalam bonet keretanya di Mersing semalam mahukan keadilan untuk mangsa kerana diperlakukan dengan kejam.
Norashikin Mohammad, 26, berkata, keluarganya tidak dapat menerima keadaan abangnya, Shakirin, 28, diperlakukan sedemikian rupa malah sehingga kini masih terkejut dengan apa yang berlaku.
Suri rumah berkenaan memberitahu, keluarganya mengetahui kejadian yang menimpa abangnya itu selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing semalam.
“Kami satu keluarga termasuk ibu bapa saya tidak tahu apa yang berlaku dan kenapa dipanggil ke IPD Mersing. Selepas itu barulah dimaklumkan dengan apa yang berlaku sebelum membuat proses pengecaman.
“Polis beritahu, abang dipercayai dibunuh di tempat lain, mungkin di Johor Bahru, tetapi kemudian dibawa ke Mersing. Kami tahu abang tiada musuh tetapi kawan abang ada beritahu abang pernah diugut oleh suspek.
“Difahamkan, suspek adalah bekas suami kepada wanita yang abang sedang kawan.
“Setahu kami, wanita itu janda, sebab itu kami tak kisah kalau mereka nak berkahwin tetapi polis maklum pada kami, mereka baharu bercerai bulan ini,” katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasak di sini malam ini.
Jenazah Shakirin selamat disemadikan kira-kira pada pukul 8 malam dengan dihadiri lebih 50 ahli keluarga saudara mara dan kenalan.
BACA: Dendam ada hubungan sulit punca pemandu lori dibunuh, mayat ditemui dalam bonet kereta
Norashikin berkata, walaupun perit menerima takdir itu, mereka sekeluarga lega pembunuh abangnya itu sudah berjaya ditangkap.
Katanya, kali terakhir abangnya dilihat pada Rabu lalu sedang mencuci kereta di rumah keluarganya di Felda Pasak.
Dia berkata, abangnya keluar rumah dengan menaiki Proton Waja berkenaan pukul 5 petang tanpa memberitahu pergi ke mana sebelum terus tidak pulang ke rumah.
“Ayah telefon saya pada sebelah malam, Rabu lalu, minta saya hubungi abang sebab dah malam abang tak pulang rumah,” katanya.
Norashikin yang tinggal Masai, Pasir Gudang berkata, abang sulungnya itu pernah berkahwin namun berpisah kira-kira setahun lalu dan tidak mempunyai anak.
Sementara itu, bapa arwah, Mohammad Abu Bakar, 61, berkata, dia akan merindui anak sulungnya itu kerana hanya arwah yang tinggal bersama-samanya.
“Lepas ini, saya tinggal berdua dengan isteri di rumah. Anak saya empat orang sahaja. Pada 2022, anak kedua saya meninggal dunia kerana sakit, sekarang anak sulung pula pergi dulu sebelum saya.
“Saya sedih tinggal dua sahaja lagi anak saya yang ada,” katanya sambil mengesat air mata.
Mohammad berkata, dia selalu berpesan supaya anaknya menjaga diri setiap kali hendak keluar bekerja namun tidak sangka pada Rabu lalu, arwah keluar tanpa memaklumkan apa-apa kepadanya.
“Kalau dia nak bawa lori, dia mesti akan cakap nak pergi ke mana. Saya akan pesan jaga diri. Rabu lalu, dia tiba-tiba keluar bawa kereta itu. Itu memang kereta dia tetapi dia tak pernah bawa, sebab dia beri saya pakai. Hari itu, dia keluar tak beritahu mahu pergi mana,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani dilaporkan berkata, mayat lelaki berusia 28 tahun ditemukan berpakaian lengkap dengan kesan kelar di leher disembunyikan dalam but kereta Proton Waja dalam semak di Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing pukul 1.50 tengah hari semalam.
Beliau dilaporkan berkata, motif pembunuhan dipercayai berlaku kerana mangsa didakwa mempunyai hubungan dengan bekas isteri suspek.
“Bertindak atas maklumat risikan yang diperoleh, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan wanita warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian ini pada 4.30 pagi hari ini.
“Kedua-dua suspek yang berumur lingkungan 33 hingga 35 tahun telah dibenarkan untuk ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: