Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berucap pada Perbentangan Usul Muktamar ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang didakwa menuduh parti itu sesat susulan kontroversi sambutan perayaan Krismas anjuran kementerian terbabit.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas memandang serius kenyataan melampau dan penuh emosi Kor Ming baru-baru ini yang antara lain menuduh Pas sebagai ‘sesat’, ‘menyebar ajaran sesat’, ‘menunggang agama’, ‘merosakkan keharmonian masyarakat’ dan ‘menyekat sambutan Krismas’.

“Justeru atas tohmahan dayus dan fitnah jahat yang jelas ini Pas menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap menteri berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Takiyuddin mendakwa, ledakan emosi yang melulu dan tidak terkawal Kor Ming itu dipercayai berpunca daripada teguran dan kemusykilan yang ditimbulkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Hanif Jamaluddin, berhubung kehadiran orang Islam dalam majlis sambutan Krismas anjuran kementerian itu, baru-baru ini.

Jelasnya, Hanif antara lain mempersoalkan sensitiviti kementerian berkait isu itu, sekali gus mengepilkan garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan 2005 berhubung penglibatan orang Islam dalam acara merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam.

Turut dikepilkan, ujarnya, ialah penjelasan berhubung hukum orang Islam menyertai acara “Christmas Carolling” daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Irsyad Hukum Siri ke 818, 24 Disember 2023).

“Kedua-dua garis panduan dan penjelasan hukum oleh dua institusi utama Islam ini menetapkan syarat-syarat ketat ke atas orang Islam berhubung perkara ini kerana ia termasuk dalam perkara-perkara berkaitan aqidah dan kepercayaan Islam.

“Berdasarkan pertimbangan itu, persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Hanif adalah wajar dan seharusnya ditangani dengan cermat serta telus,” katanya.

Tambah Takiyuddin, sejarah membuktikan sejak selepas kemerdekaan negara, tidak pernah berlaku kementerian-kementerian mahupun agensi-agensi kerajaan menganjurkan program-program perayaan keagamaan selain Islam secara terbuka di premis-premis kerajaan, apatah lagi turut melibatkan pegawai dan kakitangan yang beragama Islam.

Sehubungan itu, beliau menggesa KPKT atau mana-mana pihak lain lebih peka dan berhati-hati pada masa akan datang dalam isu melibatkan hukum-hakam agama termasuk dalam sambutan perayaan-perayaan.

“Hal ini kerana sikap sambil lewa, tidak peduli atau tidak sensitif bukan sahaja boleh membawa kesan buruk ke atas orang Islam, tetapi juga hubungan baik antara kaum dan agama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here