KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat berstatus bankrap mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah pada 18 Disember lalu selepas menghadapi enam pertuduhan terlibat secara langsung dalam pengurusan dua syarikat ketika masih berstatus bankrap.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkata, dua syarikat tersebut ialah Alcoreiz Global Capital Berhad dan Paxos Ebreiz Skylight Berhad.
“Tertuduh, Mohd Narazam Muhammad didakwa telah menandatangani beberapa dokumen penting termasuk resolusi syarikat bagi kedua-dua entiti tersebut, walaupun beliau masih terikat dengan status kebankrapan yang belum selesai,” katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tindakan ini melanggar peraturan yang termaktub di bawah undang-undang Syarikat Malaysia.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 198(1) Akta Syarikat 2016 yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda tidak lebih daripada RM1 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Nurul Husna Mond Yusof dan Faricza Hazreen Salchuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Azaromni Abd Ranman menetapkan 12 Februari 2025 sebagai tarikh untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.
SSM turut mengingatkan orang awam bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang melanggar peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan. – MalaysiaGazette