KUANTAN – Operasi pengepaman air telah diaktifkan malam tadi di tujuh rumah pam utama di sekitar daerah ini.
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuantan, ia berikutan hujan lebat berlarutan sejak semalam yang dikhuatiri boleh mengakibatkan kejadian banjir.
Katanya, rumah pam terlibat ialah di Kampung Razali, Kampung Kurnia, Taman Guru, Sungai Isap, Al-Fatah, Bunut Rendang dan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kampung Pandan.
“Langkah ini bertujuan memastikan aliran air lebih lancar, mengurangkan risiko banjir dan meminimakan kesan bencana kepada penduduk,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook malam tadi.
Selain itu, JPS Kuantan turut melakukan pemantauan berteruskan di kawasan berisiko tinggi dan memaklumkan penduduk untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Terdahulu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS pada 2 petang semalam mengeluarkan ramalan banjir melanda lima daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Jerantut dan Maran hari ini susulan hujan lebat berterusan. – MalaysiaGazette