BATU MAUNG – Sebuah kereta jenis Mercedes-Benz C200 hangus dijilat api di Kilometer 18.0 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) dari arah Batu Kawan menghala pulau hari ini.
Kejadian jam 3.15 petang itu bagaimanapun tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kecederaan selepas pemandu lelaki berusia 23 tahun dan penumpangnya berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pasukan bomba telah membantu memadamkan kebakaran tersebut sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian kereta tersebut terlanggar satu bateri lori di lorong kanan Lebuh Raya Utara Selatan sebelum persimpangan keluar JSAHMS.
“Susulan itu, lelaki berkenaan meneruskan pemanduan sebelum kereta yang dinaikinya bersama penumpang berasap dan terbakar di atas JSAHMS.
“Kereta tersebut terbakar secara keseluruhan namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Sazelee, pihak polis kini sedang mengesan saksi kejadian serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 94 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 94 LN 170/59),” katanya.
Terdahulu, kebakaran kereta tersebut telah menyebabkan aliran trafik sesak lebih lima kilometer di JSAHMS.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohd Firdaus Mohd Saad berkata, pasukan penyelamat mengambil masa selama 15 minit bagi memadam dan mengawal kebakaran tersebut. – MalaysiaGazette