Dinding sebuah kolam takungan yang pecah menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan di Taman Seri Alam, Sungai Buloh, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 DISEMBER 2024

SUNGAI BULOH – Penduduk di Taman Seri Alam, di sini, kecewa apabila insiden kolam takungan pecah berulang semula selepas sembilan tahun.

Kejadian banjir yang berlaku untuk kali kedua selepas 13 Disember 2015 itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk kawasan perumahan itu terhadap tahap keselamatan struktur kolam terbabit.

Sehubungan itu, penduduk menggesa pihak berkuasa dan pemaju mencari alternatif lain dalam pengurusan air serta memastikan infrastruktur yang lebih kukuh dibina di taman tersebut.

Rata-rata mereka mahu tindakan segera siambil supaya insiden itu tidak menjejaskan kehidupan masing-masing dan kawasan perumahan itu menjadi lebih selamat pada masa akan datang.

Tinjauan MalaysiaGazette di kawasan kejadian mendapati rata-rata penduduk masih lagi dalam proses pembersihan kediaman masing-masing sejak malam semalam.

Salah seorang penduduk, Mohamed Sulaiman Fakeer Mohd, 51, bagaimanapun berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang semalam adalah lebih teruk daripada kejadian pada 13 Disember 2015.

Penduduk, Mohamed Sulaiman Fakeer Mohd, 51, bercakap ketika ditemubual mengenai kejadian dinding sebuah kolam takungan yang pecah menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan di Taman Seri Alam, Sungai Buloh, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 DISEMBER 2024

“Air deras masuk ke rumah sehingga menyebabkan lumpur memenuhi setiap sudut. Kali ini lebih teruk, dengan air naik sehingga 6 hingga 7 inci walaupun pintu rumah sudah dikunci.

“Hal ini kemungkinan kerana kolam takungan tidak dapat menampung jumlah air yang besar. Dari pandangan mata kasar pun, nampak kolam ini hanya diperbuat daripada batu dan simen tanpa sokongan konkrit atau besi yang kukuh.

“Tempat kami rendah, manakala kawasan sekeliling telah dinaikkan tanahnya. Jadi, air bertakung di sini dan memberi impak besar kepada kami,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenapa air dari kolam takungan tidak disalurkan ke kolam takungan utama di kawasan berhampiran seperti di Hill Park yang lebih besar.

Mohd Faris Iqhwan Rashid, 28, berkata, masalah ini telah lama disedari apabila terdapat keretakan pada tembok dan perkara itu sudah dilaporkan kepada pihak terbabit.

Penduduk, Mohd Faris Iqhwan Rashid, 28, bercakap ketika ditemubual mengenai kejadian dinding sebuah kolam takungan yang pecah menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan di Taman Seri Alam, Sungai Buloh, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 DISEMBER 2024

“Namun, tindakan pembaikan didakwa tertangguh dan apabila hujan lebat menyebabkan struktur itu pecah, mengakibatkan limpahan air deras ke kawasan perumahan.

“Keretakan sudah lama berlaku, tetapi mereka seperti menunggu sehingga hujan lebat menyebabkan tembok pecah. Air deras masuk ke kawasan perumahan, merosakkan harta benda penduduk,” ujarnya.

Mohd Faris Iqhwan turut mempertikaikan fungsi fungsi kolam takungan tersebut yang didakwa bukan untuk kawasan perumahan mereka tetapi untuk kawasan lain.

Penduduk mula melakukan kerja-kerja mengemas dan mencuci rumah apabila dinding sebuah kolam takungan yang pecah menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan di Taman Seri Alam, Sungai Buloh, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 DISEMBER 2024.

“Kolam ini dibina untuk mengelakkan banjir di tempat lain, tetapi akhirnya kami yang menanggung kesannya.

“Oleh itu, kami penduduk di sini berharap pemaju bertanggungjawab membaiki kerosakan dan memastikan langkah pencegahan diambil.

“Kolam takungan itu juga patut ditutup atau struktur keselamatannya diperbaiki bagi mengelakkan bencana serupa berlaku lagi,” tambahnya.

Wakil kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, Noor Ain Mohamad berkata, pihaknya telah turun turun padang semalam untuk memberikan sokongan moral dan bantuan kepada penduduk.


Wakil ahli parlimen Sungai Buloh, Noor Ain Mohamad, bercakap ketika ditemubual mengenai kejadian dinding sebuah kolam takungan yang pecah menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan di Taman Seri Alam, Sungai Buloh, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 DISEMBER 2024

“Kami telah mengedarkan makanan dan menyediakan bantuan awal kepada penduduk yang terjejas.

“Penduduk juga disarankan membuat laporan polis dan menghantar bukti kerosakan seperti gambar ke laman web rasmi Parlimen bagi memudahkan urusan tuntutan,” katanya.

Noor Ain memberi jaminan pihaknya akan terus memantau situasi ini dan bekerjasama dengan pemaju serta pihak berkuasa tempatan untuk memastikan langkah penyelesaian jangka panjang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast