KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat makanan sejuk beku berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atas pertuduhan pecah amanah kerana mengeluarkan wang syarikat berjumlah RM195,401 dekat Sentul kira-kira dua tahun lalu.
Tertuduh, John Lee Siew Neng bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali di Mahkamah Sesyen Jenayah (Siber) di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, Lee Siew Neng, 59, yang merupakan pengarah Syarikat Musang Durian Frozen Food (M) Sdn Bhd yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan syarikat telah secara tidak jujur mengeluarkan wang syarikat berjumlah RM195,401 antara 24 Februari 2022 hingga 25 Ogos 2022.
Kesalahan itu dilakukan di syarikat Musang Durian Frozen Food (M) Sdn Bhd yang beralamat di PT 1239, Jalan KIP 10, Taman Perindustrian KIP, Sentul.
John Lee didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebatan dan denda.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak yang pada awalnya tidak menawarkan sebarang jaminan susulan pertuduhan itu merupakan kesalahan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun peguam, Aida Jaafar Mad Ariff merayu agar anak guamnya diberikan jaminan serendah RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan.
Menurut Aida, ini kerana anak guamnya yang sudah berkahwin selama 29 tahun itu dikurniakan enam cahaya mata mempunyai tanggungan besar selain keadaan ekonomi syarikat yang terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pihak pendakwaan kemudiannya menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Aida turut mencelah dan sekali lagi merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya tiada rekod jenayah lampau di samping perniagaan Lee Siew Neng tidak stabil sejak PKP.
Hakim Siti Aminah kemudiannya mengarah tertuduh dikenakan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 13 Februari 2025 sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette