KUALA LUMPUR – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak akan melindungi kakitangannya yang terlibat dalam salah lalu berikutan pemeriksaan mengejut yang dilakukan Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) di cawangan Wangsa Maju, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, kakitangan terlibat tidak akan dilindungi daripada sebarang tindakan disiplin dalaman sekiranya terbukti ada salah laku.
“Untuk memastikan integriti pemeriksaan Puspakom, syarikat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan terbabit seperti yang diperuntukan di bawah terma dan syarat kontrak pekerjaan, termasuk penggantungan
atau pembuangan kerja,” katanya menerusi kenyataan.
Pada Op Gempur Puspakom yang dilancarkan JPJ di cawangan Wangsa Maju hari ini menemukan sebuah kenderaan yang diperiksa di cawangan itu disita jabatan tersebut kerana menggunakan pemandu warga asing tanpa lesen memandu yang
sah.
Puspakom turut mengesahkan dua kakitangan cawangan Wangsa Maju telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada Jabatan Penguatkuasaan JPJ esok.
Menyentuh tentang Op Gempur Puspakom, Mahmood Razak berkata, langkah itu akan membantu usaha membudayakan amalan keselamatan jalan raya di Malaysia.
Menurutnya, kerjasama antara Puspakom dan JPJ akan mengukuhkan usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan memelihara integriti sistem pengangkutan negara.
“Puspakom sentiasa komited dalam memastikan semua kenderaan yang diperiksa memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan,” ujarnya.
Tambah beliau, pemeriksaan mengejut itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ untuk memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang kenderaan di jalan raya.
Katanya, Puspakom menyokong penuh inisiatif yang bertujuan memastikan segala prosedur pemeriksaan dilakukan dengan telus dan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette