MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka terpaksa menutup operasi syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd yang mengendalikan pengangkutan bas henti-henti di negeri ini kerana tidak mencatatkan keuntungan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kaedah pengurusannya anak syarikat Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) itu juga tidak dapat dipulihkan lagi.
“Ya, sebuah syarikat yang tidak berdaya maju dalam resolusi yang dibuat dalam Pelan Melakaku Maju Jaya 2035 kita kena tutup kerana kaedah pengurusan yang diwarisi kepada kita hari ini tak dapat dipulihkan
“Maka kita ambil langkah baru untuk ambil semua aset ini dan kita serapkan kakitangan kepada jabatan-jabatan tertentu dan memulakan satu agensi baru menguruskannya.
“Konsepnya adalah Panorama tapi no more tiada lagi Panorama,” katanya selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di Seri Negeri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam usaha Melaka melestarikan pentadbirannya dalam slogan Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat, perbalahan sesama sendiri harus dielakkan. – MalaysiaGazette