HAMILTON (Kanada) – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin mengecam operasi ketenteraan Israel yang menyasarkan hospital di Gaza, termasuk Hospital Kamal Adwan yang kini tidak lagi berfungsi, lapor Agensi Anadolu.

“Kami menegaskan pendirian kami dengan mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam, termasuk hospital.

“Kami berulang kali menyeru agar tempat-tempat ini dihormati sebagai kawasan selamat di mana orang ramai mendapatkan bantuan perubatan,” kata jurucakap bersekutu kepada ketua PBB, Florencia Soto Nino kepada pemberita dalam satu sidang media.

Ketika ditanya mengenai penahanan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr. Hussam Abu Safiya di Gaza, Nino berkata: “Mana-mana individu yang merupakan orang awam yang tidak bersalah dan berusaha membantu orang lain tidak seharusnya ditahan.”

“Saya fikir kami sudah lama membincangkan perkara ini — tiada tempat selamat di Gaza,” katanya, sambil menambah bahawa PBB bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong usaha untuk memastikan keselamatan orang awam, termasuk pengarah hospital itu.

Memetik Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Nino berkata 10 pesakit dipindahkan dari Hospital Kamal Adwan, dengan empat daripada mereka ditahan oleh pasukan Israel di pusat pemeriksaan semasa meninggalkan kawasan itu.

“Tujuh pesakit, bersama 15 penjaga dan petugas kesihatan masih berada di hospital terbabit yang kini mengalami kerosakan teruk dan tidak lagi mampu menyediakan rawatan perubatan.

“Pasukan kami turut melaporkan hospital itu kini tiada bekalan air, elektrik, dan kemudahan sanitasi,” katanya.

Nino juga menegaskan sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan terus berlanjutan, mengakibatkan operasi bantuan lumpuh ketika keluarga-keluarga amat memerlukan makanan, tempat perlindungan dan pakaian, terutama sekali dalam keadaan musim sejuk yang memburukkan lagi keadaan mereka.

“OCHA hari ini memberi amaran bahawa segala keperluan asas untuk kelangsungan hidup penduduk sedang dimusnahkan.

“Ini termasuk serangan ke atas perkhidmatan kesihatan, kecemasan, dan akses kemanusiaan, selain serangan tanpa henti yang membunuh dan mencederakan orang awam setiap jam,” katanya.- BERNAMA-AA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here