Zanariah Nasruddin (kiri), Nasiah Awang (ibu) dan Rohayu Nasruddin (kanan) menunjukkan gambar Allahyarham Zainal Abidin Nasruddin yang maut dalam kemalangan motosikal selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32, Jalan Klang-Teluk Intan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2025

TANJONG KARANG – Cebisan mayat pembantu perubatan Klinik Kesihatan Kapar, Klang yang bertaburan di tepi parit seberat hampir satu kilogram sempat dikutip adik bongsunya sebaik sahaja tiba di Kilometer 32, Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Jeram, Kuala Selangor semalam.

Temubual Mohd Faizal bin Nasruddin, adik bongsu kepada abangnya Allahyarham Zainal Abidin Nasruddin yang maut dalam kemalangan motosikal selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32, Jalan Klang-Teluk Intan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2025

Adik bongsu mangsa, Mohd Faizal Nasruddin, 40, ketika mengimbas kembali detik pilu berkata, dia tidak menyangka cebisan mayat yang dikutipnya akibat kemalangan maut merupakan abang kandungnya sendiri.

“Saya tak fikir apa-apa pun masa itu, sampai sahaja ke lokasi kemalangan, saya nampak bomba sudah usung jenazah naik dari parit dan saya nampak masih ada cebisan mayat abang saya bertaburan atas jalan.

“Saya tak fikir panjang (fikiran terganggu dan sedih), saya terus kutip cebisan mayat abang sulung yang beratnya hampir satu kilogram.

“Saya biasa bantu mangsa kemalangan, lebih terkilan kali ini saya kutip cebisan mayat abang saya sendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediaman ibunya, di sini, hari ini.

Temubual Mohd Faizal bin Nasruddin, adik bongsu kepada abangnya Allahyarham Zainal Abidin Nasruddin yang maut dalam kemalangan motosikal selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32, Jalan Klang-Teluk Intan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2025

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang petugas perubatan Klinik Kesihatan Kapar maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32, Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Jeram, di sini, semalam.

Mangsa, Zainal Abidin Nasruddin, 57, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia selepas kenderaan SUV jenis Perodua Ativa merempuhnya dalam kejadian jam 6.11 petang.

Seorang petugas perubatan Klinik Kesihatan Kapar maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32, Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Jeram, Kuala Selangor, semalam.

Menurut Mohd Faizal, semasa kejadian, dia sempat bertemu dengan pemandu kenderaan Perodua Ativa dipercayai seorang pegawai polis berjawatan tinggi yang bertugas di Bukit Aman.

“Pada mulanya saya tidak berniat nak jumpa pelakunya, tapi selepas saya tengok sendiri keadaan mayat abang saya yang tidak sempurna dan bahagian kakinya hancur, saya terus mencari pelaku yang ketika itu berada di dalam ambulans.

“Dalam keadaan kecewa, saya sempat melepaskan kemarahan kepada pegawai polis terbabit yang sedang menghisap rokok tanpa rasa serba salah dan enggan meminta maaf kepada saya dan keluarga,” katanya.

Rohayu Nasruddin (tengah), Zanariah Nasruddin (kanan) dan Mohd Faizal Nasruddin menunjukkan gambar Allahyarham Zainal Abidin Nasruddin yang maut dalam kemalangan motosikal selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32, Jalan Klang-Teluk Intan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2025

Mohd Faizal berkata, lebih menyayat hati selepas dia melihat rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) yang tular di media sosial menunjukkan abang sulungnya melambung ke udara akibat rempuhan itu.

“Saya sendiri mendapat rakaman video CCTV dari kedai tom yam berhadapan dengan lokasi kejadian, dashman daripada pemandu kenderaan pacuan empat roda dan visual CCTV dari rumah penduduk setempat.

“Saya tak sanggup nak tengok balik rakaman video itu, apatah lagi kenderaan SUV itu dipandu secara melulu dari laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal yang ditunggangi abang saya.

“Abang saya seorang yang patuh kepada undang-undang, bawa motosikal secara perlahan, apatah lagi kakinya tempang sebelah kiri kerana pernah terlibat dalam kemalangan hingga koma ketika waktu remaja,” katanya.

Rohayu Nasruddin (tengah), Zanariah Nasruddin (kanan) dan Mohd Faizal Nasruddin menunjukkan gambar Allahyarham Zainal Abidin Nasruddin yang maut dalam kemalangan motosikal selepas dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32, Jalan Klang-Teluk Intan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2025

Selain itu, Mohd Faizal berkata, ahli keluarganya sedang berbincang untuk melantik peguam bagi menuntut keadilan untuk abang sulungnya.

“Perjalanan selepas ini, dengan dua laporan polis yang dibuat orang awam dan bukti rakaman video CCTV dan dashcam, kami harap ia dapat membantu untuk membawa pelaku ke muka pengadilan.

“Kami tidak mahu kes ini menerima layanan dwi standard hanya kerana ia melibatkan individu yang berjawatan tinggi, lebih-lebih lagi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here