KUALA LUMPUR – Menjelang tahun baru, ramai individu melihatnya sebagai peluang untuk bermuhasabah, menilai pencapaian yang telah diraih dan mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.
Ia juga menjadi detik penuh harapan untuk menetapkan azam baharu serta sasaran yang lebih jelas, dengan matlamat merealisasikan impian yang masih belum tercapai dan melangkah dengan lebih yakin pada masa hadapan.
Bagi pasangan pengantin baru, Nur Amira Zahira, 26, dan Abdul Muttalib Awang Mohamad, 25, menjadikan tahun 2025 peluang untuk membina asas kukuh untuk kehidupan berkeluarga.
Menurut pasangan berkenaan, tahun ini dianggap sebagai fasa awal untuk mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan berumahtangga serta menetapkan matlamat kewangan yang lebih stabil bagi memastikan masa depan keluarga yang lebih terjamin.

“Azam kami untuk 2025 adalah memperkukuhkan institusi keluarga. Kami baru sahaja berkahwin tiga hari lalu, jadi ini adalah langkah pertama untuk mencipta kehidupan yang stabil.
“Cabaran utama pastinya pengurusan masa dan kewangan. Tapi kami percaya, dengan perancangan rapi dan tawakal kepada Allah, kami boleh mengatasi apa sahaja halangan,” jelas pasangan itu.
Selain itu, Fakhru Razi Razali, 34, dan Nor Ezadatul Shahizad Mohd Ghazali, 35, melihat tahun baru ini sebagai peluang untuk memperbaiki peranan mereka sebagai suami, isteri, dan ibu bapa yang lebih bertanggungjawab, dengan fokus untuk mengeratkan ikatan keluarga dan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan sejahtera.

Nor Ezadatul Shahizad Mohd Ghazali (kiri) bercakap kapada wartawan Malaysia Gazette semasa tinjauan tahun baru di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 1 JANUARI 2025.
“Saya ingin menjadi suami dan bapa yang lebih baik daripada tahun sebelumnya. Dari segi kewangan pula, saya berazam untuk lebih berjimat dan mencapai kestabilan.
“Saya mahu memberi yang terbaik untuk keluarga. Setiap keputusan yang saya buat, saya mahu pastikan ia memberi manfaat jangka panjang untuk anak-anak dan isteri.” ujarnya.
Sementara itu, Ezza turut menyokong penuh usaha Razi dan memberi penekanan pada kekuatan keluarga.
“Saya harap kami dapat menjadi pasangan yang lebih baik, serta ibu bapa yang memberi perhatian lebih kepada keperluan anak-anak. Kami mahu anak-anak kami membesar dalam persekitaran yang penuh kasih sayang, dengan pengajaran yang baik,” katanya.
Bagi golongan muda seperti Mohamad Hakimie Hashim dan Mohamad Syuwari Mohd Sabri, masing-masing berusia 20 tahun, berazam lebih fokus pada pencapaian material dan kematangan diri pada tahun ini.
Menurut Hakimie, impiannya tahun ini adalah untuk membeli kereta atas namanya sendiri.

Baginya, impian itu bukan sekadar pencapaian material, tetapi juga dianggapnya sebagai satu langkah besar dalam perjalanan menuju kematangan hidup.
Sementara itu, menurut Syuwari, azamnya pada tahun ini lebih bersifat peribadi iaitu menjadi lebih matang dan memberi manfaat kepada orang lain.
Jelasnya, kematangan bukan hanya diukur dengan usia, tetapi bagaimana dia dapat memberi impak positif kepada masyarakat sekeliling. – MalaysiaGazette