Oleh: Dr. Khairunneezam Mohd Noor & Dr. Nuruliza Roslan
SEPERTI yang dilaporkan dalam Malaysia Gazette baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap cubaan membunuh karakter atau character assassination yang semakin berleluasa kebelakangan ini dengan niat untuk memberi persepsi negatif terhadap individu tertentu. Menurut Baginda, jika tidak dibendung, perbuatan itu boleh membawa kepada lebih banyak budaya hidup yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
Sultan Sharafuddin bertitah, lazimnya perbuatan membunuh karakter itu hanya berlaku pada musim pilihan raya, namun kini ia digunakan untuk memusnahkan kepercayaan dan seterusnya menjatuhkan individu tertentu. Titah baginda ini dimuatkan dalam perutusan bersempena dengan tahun baharu 2025.
Pembunuhan karakter merujuk kepada tindakan yang bertujuan merosakkan reputasi seseorang melalui penyebaran maklumat palsu, fitnah, atau kritikan tidak berasas. Fenomena ini sering berlaku di pelbagai platform, termasuk media tradisional, media sosial, dan ruang perbincangan awam.
Menurut Kamus Merriam-Webster, pembunuhan karakter didefinisikan sebagai tindakan atau proses memfitnah seseorang dengan cara yang menyebabkan kerosakan serius kepada reputasinya. Menurut seorang pakar psikologi sosial, Profesor Philip Zimbardo dari Stanford University, pembunuhan karakter adalah satu bentuk manipulasi sosial yang bertujuan mengasingkan seseorang daripada masyarakat dan menjatuhkan kredibilitinya.
Pembunuhan karakter bukanlah fenomena baharu. Dalam sejarah, ia sering digunakan sebagai alat politik untuk melemahkan lawan. Pembunuhan karakter yang tertera dalam lipatan sejarah adalah seperti pembunuhan Presiden Abraham Lincoln pada tahun 1865 yang menggoncang kestabilan geopolitik Amerika Syarikat selepas Perang Saudara, dan pembunuhan Archduke Franz Ferdinand, pewaris takhta Austria-Hungary pada tahun 1914 yang mencetuskan Perang Dunia Pertama.
Pembunuhan-pembunuhan dek kerana pembunuhan karakter dan fitnah ini sering kali mengubah arah sejarah, menyebabkan perubahan besar dalam struktur politik dan sosial di seluruh dunia. Dalam era digital, pembunuhan karakter semakin berkembang dan mudah kerana maklumat boleh disebarkan dengan pantas dan meluas, menjadikan mangsa lebih sukar untuk membersihkan nama mereka.
Kewujudan media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram telah menjadi medan utama pembunuhan karakter. Contohnya, pelbagai kes fitnah terhadap selebriti, ahli politik dan pemimpin organisasi sering menjadi tajuk utama berita.
Trend ini membimbangkan kerana ia bukan sahaja melibatkan individu berprofil tinggi, tetapi juga orang awam. Malah, menurut laporan Digital 2023 oleh laman web We Are Social yang berpangkalan di Amerika Syarikat, hampir 59% populasi dunia kini menggunakan media sosial, yang meningkatkan potensi penyebaran maklumat palsu.
Antara isu semasa yang menonjol ialah penggunaan bot atau akaun palsu untuk menyebarkan fitnah secara terancang. Kajian oleh Oxford Internet Institute menunjukkan manipulasi maklumat melalui media sosial kini menjadi strategi biasa dalam kempen politik di lebih 70 negara.
Pembunuhan karakter boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa. Dari segi individu, ia boleh menyebabkan tekanan emosi, gangguan mental, dan kehilangan keyakinan diri. Mangsa juga mungkin menghadapi kerugian kewangan akibat hilangnya peluang pekerjaan atau kontrak perniagaan. Dari perspektif masyarakat, fenomena ini boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi, memupuk budaya ketidakpercayaan, dan memperbesar jurang polarisasi sosial.
Menurut pakar komunikasi, Prof. Sherry Turkle, kesan pembunuhan karakter yang meluas boleh merosakkan dialog atau perbincangan awam yang sihat. Apabila reputasi seseorang diserang tanpa bukti kukuh, ia mewujudkan suasana ketakutan di mana masyarakat menjadi enggan menyuarakan pandangan mereka secara terbuka takut-takut mereka pula yang dikecam dan diserang dalam laman maya.
Untuk menangani pembunuhan karakter sebegini, pelbagai langkah boleh diambil di peringkat individu, masyarakat, dan institusi. Pertama, individu harus mengambil tindakan segera untuk membersihkan nama mereka, termasuk mendapatkan nasihat undang-undang dan menggunakan platform digital untuk membetulkan maklumat yang salah. Kedua, pendidikan literasi digital perlu ditingkatkan agar masyarakat lebih bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat.
Ketiga, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas diperlukan untuk menangani kes fitnah. Di Malaysia, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh digunakan untuk mendakwa mereka yang menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah di internet. Walau bagaimanapun, keberkesanan akta ini bergantung kepada pelaksanaan yang konsisten dan kesedaran masyarakat terhadap hak mereka.
Daripada perspektif Islam pembunuhan karakter adalah perbuatan yang dicela. Dalam Islam, fitnah dianggap dosa besar, seperti firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka tersebarnya keburukan di kalangan orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat” (surah An-Nur, ayat 19).
Pembunuhan karakter adalah ancaman serius yang memerlukan perhatian segera dan serius. Dalam dunia yang semakin mudah dan cepat untuk berhubung, setiap individu mempunyai tanggungjawab memastikan maklumat yang disebarkan adalah benar dan tidak memudaratkan orang lain. Dengan kerjasama semua pihak, budaya komunikasi yang lebih beretika dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan akan terpelihara. Pada akhirnya, integriti dan reputasi adalah aset yang tidak ternilai, dan ia harus dipertahankan dengan penuh tanggungjawab.
Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor dan Prof. Madya Dr. Nuruliza Roslan merupakan Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Mizan Knowledge for Change (K4C) Hub, Universiti Sains Islam Malaysia
ASSOC. PROF. DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR
Senior Lecturer
Da’wah and Islamic Management Program
Faculty of Leadership and Management
Islamic Science University of Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan Malaysia
email: [email protected]
Please Click Here for USIM Email Disclaimer.
…