Gambar hiasan

BUDAYA cafe hunting kini menjadi fenomena menarik yang berjaya memacu pelancongan domestik di Malaysia. Bermula dengan gelombang budaya kopi yang semakin menonjol sejak beberapa tahun lalu, minat terhadap kopi telah berkembang pesat daripada sekadar minuman harian kepada satu bentuk apresiasi seni dan gaya hidup. Kafe-kafe kini tidak hanya menyajikan kopi, tetapi juga pengalaman unik yang menggabungkan rasa, estetik, dan nilai kebudayaan.

Lebih menarik, budaya ini turut disokong oleh asimilasi konsep healing dalam reka bentuk kafe. Banyak kafe kini memilih dekorasi hijau dengan tanaman semula jadi, gaya minimalis yang menenangkan, serta elemen tradisional yang membawa sentuhan nostalgia. Suasana ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengunjung, malah menjadikan kafe sebagai ruang terapi untuk melepaskan tekanan kehidupan seharian.

Menariknya, kafe dan kedai kopi kini berkembang dengan pelbagai latar lokasi yang unik. Tidak lagi terhad kepada kawasan bandar, kafe-kafe ini telah menemui kehidupan baru di rumah-rumah kampung, kedai-kedai lama, tepian pantai, taman-taman, dan bahkan di dusun-dusun.

Gabungan antara elemen alam semula jadi dan suasana desa mencipta pengalaman yang lebih mendalam, menjadikan kunjungan ke kafe sebagai satu bentuk pelarian santai dari hiruk-pikuk kehidupan moden. Keunikan lokasi-lokasi ini menyuntik keistimewaan kepada budaya cafe hunting, menarik lebih ramai pelancong domestik untuk meneroka destinasi baru dan menikmati keindahan alam dalam suasana menyegarkan.

Generasi muda juga memainkan peranan besar dalam memacu budaya cafe hunting. Dengan kemajuan media sosial, mereka giat berkongsi pengalaman mereka melalui gambar makanan, minuman, dan suasana kafe yang menarik, sekali gus mencetuskan keinginan dalam kalangan orang lain untuk turut serta. Platform seperti Instagram dan TikTok menjadi alat promosi percuma yang memperluas populariti kafe-kafe ini ke seluruh pelosok negara.

Fenomena ini telah mendorong pertumbuhan kafe bak cendawan selepas hujan, termasuk di negeri-negeri yang dahulunya tidak begitu sinonim dengan budaya kopi. Menariknya, Perlis kini dikenali sebagai ‘Darul Kopi’ kerana keunikan kafe-kafe yang menawarkan pelbagai variasi minuman kopi serta konsep yang kreatif.

Setiap kafe membawa identiti tersendiri, dari gaya tradisional hingga minimalis moden, menjadikan Perlis sebagai destinasi pilihan untuk pencinta kopi dan pemburu pengalaman cafe hunting. Keunikan ini bukan sahaja mempromosikan budaya kopi tempatan tetapi turut merancakkan pelancongan domestik di negeri ini.

Lebih daripada itu, masyarakat kini semakin sedar akan kebaikan kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan kopi, seperti meningkatkan fokus dan mengurangkan risiko penyakit tertentu, sambil menghargai kepentingan bersosial. Menurut kajian oleh Ribero et al., (2022), kopi adalah minuman yang digunakan secara global.

Kopi biasanya merupakan ejen menggalakkan kesihatan yang bermanfaat dalam pelbagai penyakit, termasuk kemurungan, diabetes, penyakit kardiovaskular dan obesiti. Kopi kaya dengan kafein, antioksidan, dan sebatian fenolik, yang boleh memodulasi komposisi mikrobiota usus dan mengurangkan kedua-dua keradangan dan tekanan oksidatif, ciri-ciri biasa beban penyakit gaya hidup.

Aktiviti cafe hunting bukan sahaja memberikan peluang untuk menikmati kopi berkualiti tinggi, tetapi juga mencipta ruang bagi interaksi sosial yang lebih bermakna, mengeratkan hubungan keluarga, rakan, dan komuniti. Maka terbuktilah, cafe hunting bukan sekadar trend sementara, tetapi satu perubahan gaya hidup yang membawa impak positif kepada ekonomi tempatan dan pelancongan domestik. Dalam pada itu, permintaan terhadap kopi telah menunjukkan lonjakan luar biasa, menjadikannya salah satu minuman paling popular di dunia hari ini.

Beberapa negara pengeluar kopi utama seperti Brazil, Vietnam, Colombia, dan Ethiopia terus memberikan impak yang besar terhadap pengeluaran dan perdagangan kopi global. Dianggarkan, sepanjang tempoh 2019-2020, sebanyak 164,487 beg kopi (berat 60kg setiap beg) telah dimakan di seluruh dunia (International Coffee Organization, 2020). Menurut BLLNR Singapore (2020), kopi dianggap sebagai produk kedua paling laris dijual di dunia selepas produk petroleum.

Pengenalan rangkaian kopi global dan penerapan budaya kopi di kalangan pelajar luar negara telah menyumbang kepada peningkatan penggunaan kopi di Malaysia. Rekod menunjukkan bahawa penggunaan kopi meningkat sebanyak 73%, daripada 344,783 beg biji kopi pada tahun 2020 kepada 597,064 pada tahun 2021.

Ini bermakna rakyat Malaysia telah menggunakan tambahan 252,281 beg biji kopi, dengan setiap beg seberat 60kg. Lonjakan ini telah menjadikan Malaysia berada di tangga ketiga di antara 58 negara di rantau ini dengan pertumbuhan penggunaan kopi tertinggi pada tahun 2021 (International Coffee Organization, 2021).

Statistik menunjukkan bahawa jumlah penggunaan kopi di Malaysia terus meningkat sejak tahun 2020, walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19, terutamanya di kalangan golongan remaja dan generasi milenial. Kini, rakyat Malaysia semakin banyak minum kopi. Pada tahun 2021, purata setiap orang di Malaysia telah meminum sebanyak 107 cawan kopi. Dengan gabungan keindahan reka bentuk, kualiti kopi, dan daya tarikan media sosial, fenomena ini berpotensi untuk terus berkembang sebagai salah satu ikon budaya moden di Malaysia.

Tunggu apa lagi. Jom ngopi!

Oleh: Razinda Tasnim Abdul Rahim
Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan,
Universiti Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ)

Dr. Mohd Faizuddin bin Muhammad Zuki
IIUM Institute of Islamic Banking and Finance
International Islamic University Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here