Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menunjukkan laporan berkenaan pengoperasian SPM pada sidang media di Blok E8, Kompleks E, KPM, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 2 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi amaran kepada pengetua, guru besar dan pihak pengurusan sekolah supaya tidak menyembunyikan kejadian buli dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, sebarang aduan perlu diselesaikan secara berhemah mengikut proses yang telah ditetapkan kementerian itu. 

Malah katanya, sebarang tindakan boleh diserahkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat ketidakpuasan hati terhadap cara pengurusan sekolah menangani aduan berkaitan buli.

“Kita minta untuk diselesaikan mengikut garis panduan pengendalian kes buli yang telahpun kita (Kementerian Pendidikan) keluarkan dan juga melibatkan maknanya proses keseluruhan melibatkan keadilan kepada pihak-pihak kepada pihak berkuasa,” katanya ketika sidang media pengoperasian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, di sini, hari ini.

Fadhlina menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai buli ala komando yang masih berlaku di sekolah berasrama penuh seperti dilaporkan baru-baru ini.

Beliau yang mengesahkan menerima laporan tersebut berkata, isu itu dalam siasatan kementeriannya.

Mengulas lanjut Fadhlina menyeru supaya aduan perbuatan buli disalurkan menerusi platform ‘Adu Buli’ yang disediakan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memudahkan tindakan secara langsung

“Pertama saya tegaskan semula bahawa kita tidak kompromi dalam soal buli ini, jadi tindakan dan juga semua proses yang terkait rapat dengan buli ini mestilah melalui prosedur yang telahpun kita tetapkan.

“Kita mohon untuk aduan ini dibuat di bawah portal Aduan Buli di bawah KPM dan prosedur di bawah Aduan Buli ini lebih jelas kerana kita akan maklumkan terus kepada pengadu apa tindakan-tindakan yang telahpun kita ambil,” tambahnya.

Sinar Harian hari ini melaporkan pelajar senior di sebuah sekolah berasrama penuh didakwa membuli pelajar junior dengan mengenakan denda keterlaluan seperti diarah melakukan aksi commando rest selama dua jam dan dipaksa bogel beramai-ramai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast