MELAKA – Insiden runtuhan struktur sebuah premis di bangunan merah berusia ratusan tahun di Bandar Hilir, semalam adalah antara sebab kerajaan negeri bercadang mengekalkan Zon Bebas Kenderaan (CFZ) di kawasan tumpuan utama pelancong itu.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, rakyat perlu memahami kesan jangka panjang bagi mengelak insiden serupa berulang di masa hadapan.
“Ini (runtuhan rasuk kayu) adalah akibat apabila kenderaan yang masuk terlalu banyak setiap hari dan setiap bulan sehingga boleh jadi sampai puluhan ribu kenderaan.
“Akibatnya, gegaran itu akhirnya menyebabkan bangunan ini rosak sebab itu CFZ ini sangat penting dan kerajaan negeri sedang ke arah menjadikan usaha zon bebas kenderaan ini secara kekal,” katanya kepada pemberita di sini.
Dalam insiden kira-kira 12.30 tengah hari semalam, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerima laporan kejadian rasuk kayu di restoran Street Kitchen dalam bangunan merah berusia ratusan tahun itu tiba-tiba runtuh.
Ketika kejadian, premis perniagaan makanan itu tidak beroperasi dan tiada kecederaan melibatkan pelancong atau orang awam yang berjalan di luar premis itu.
Mengulas lanjut, Rais berkata, walaupun usaha CFZ itu hanya melibatkan penutupan jalan sepanjang beberapa ratus meter sahaja, ia amat penting untuk menunjukkan komitmen kerajaan negeri memelihara nilai sejarah.
“Nilai sejarah ini adalah untuk tatapan anak cucu kita di masa hadapan jadi saya menyeru kepada semua pihak supaya memahami akan kepentingan CFZ ini.
“Jika tidak, inilah sebabnya hari ini bangunan yang sangat berharga khususnya bagi rakyat Melaka ini telah berlaku sedikit runtuhan,” katanya lagi.
CFZ di Banda Hilir mula dilaksanakan September 2023 membabitkan penutupan beberapa jalan selama 55 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.
Kejayaan pelaksanaannya di pusat pelancongan Banda Hilir itu turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) membabitkan tempoh pelaksanaan CFZ yang terpanjang di Malaysia. – MalaysiaGazette