Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekali lagi akan menganjurkan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 pada 7 dan 8 Januari ini, di Hotel Grand Hyatt, di sini.

Bertemakan Quantum Frontier: Regulation & Innovation In The Tech Era, persidangan global itu bakal menghimpunkan pengawal selia serantau, pemimpin industri dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan dari seluruh dunia.

Persidangan yang bakal dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil itu akan membincangkan landskap digital yang berkembang, dengan fokus kepada teknologi termaju dan rangka kerja pengawalan yang penting dalam menangani cabaran dan peluang era moden.

Menampilkan dialog berimpak tinggi, perbincangan santai serta ucap tama, persidangan itu turut bertujuan memupuk kerjasama, inovasi, dan perbincangan mendalam dalam kerangka kerja kawal selia serta pendekatan dalam industri komunikasi dan multimedia.

Ia juga bakal menjadi platform unik untuk pihak berkepentingan bertukar pandangan dan merangka strategi untuk masa depan teknologi yang tahan lasak dan mampan.

Perbincangan yang berlangsung pula akan merangkumi topik seperti inovasi dalam kawalan, kerjasama antarabangsa dan peranan transformasi teknologi di seluruh sektor-sektor utama.

Sepanjang dua hari penganjurannya, IRC 2025 akan menampilkan hampir 30 panelis dari pelbagai latar belakang yang merupakan pakar dalam bidang masing-masing.

Antaranya, Ketua Pegawai Eksetutif (CEO) Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy bin Megat Tajuddin; Ketua Pegawai Teknologi (CTO) CyberSecurity Malaysia, Wan Roshaimi Wan Abdullah; Pengarah Urusan Agrocloud Sdn. Bhd., Vishnu Nair dan ramai lagi.

Dengan kehadiran penceramah terkemuka itu, termasuk pembuat dasar dan pakar global, IRC 2025 bakal menawarkan peluang yang amat berharga untuk perkongsian pengetahuan, rangkaian, dan pembentukan masa depan kawal selia serta teknologi.

Pada persidangan IRC tahun lalu, seramai 800 peserta mengambil bahagian termasuk delegasi daripada ASEAN, Korea, Australia dan United Kingdom. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here