MENUTUP tahun 2024 lagu hasil karya penyanyi dan komposer, Noh Hujan berjudul ‘Rahsia Tuhan’ muncul pada waktu yang tepat, ia pantas meledak kerana menepati selera pelbagai khalayak pendengar yang punyai banyak rahsia kehidupan. Dalam satu wawancara bersama wartawan, Noh Hujan mendedahkan penulisan lirik dan menyiapkan lagu Rahsia Tuhan hanya mengambil masa sehari pada awal tahun ini.

Merupakan lagu runut bunyi kepada sebuah filem tempatan, bagi penulis ia sememangnya sebuah lagu yang berjaya menyentuh pendengar daripada pelbagai latar belakang kerana ia membuai emosi terhadap banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan lampau dan semasa seorang manusia, tambahan pula sebagai orang dewasa. Mood dan intipati lagu ini ‘ngam’ dengan kisah perjalanan kehidupan yang rencam dan pada akhirnya kita sudah dapat berdamai (reda) dengan segala ketentuan sama ada ujian yang memeritkan mahupun kebahagian menggunung yang diberikan oleh Tuhan.

Dibantu dengan ‘promosi’ secara tidak langsung di media sosial khususnya TikTok, masyarakat berkongsi rahsia jatuh bangun masing-masing dalam kehidupan berlatarkan lagu ini untuk dijadikan pedoman dan motivasi. Dari sini kita dapat lihat bagaimana sebuah lagu atau muzik memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan seharian untuk kita bertingkah laku dan bereaksi.

Ini kerana lagu juga berperanan sebagai media kerana ia turut membawa fungsi media itu sendiri iaitu sebagai perantara atau mediator.Pelbagai mesej dapat disampaikan melalui lagu antaranya sebagai penyampai maklumat, pendidikan, dakwah serta menyemai semangat patriotisme dan hiburan.Lagu juga memberikan impak yang sangat besar kepada masyarakat.

Melalui pengamatan penulis, peranan lagu boleh dibahagian kepada kepada tiga fungsi aitu yang pertama menyampaikan maklumat dan dakwah. Maklumat seperti dakwah dapat disebarkan yang mengandungi pelbagai pengajaran dan iktibar. Contohnya melalui lagu lagu nasyid,lirik dalam nasyid tersebut mengandungi banyak nasihat yang mendidik masyarakat Islam mahupun bukan Islam untuk berbuat kebaikan.

Apabila Raihan muncul dalam industri muzik negara membawa lagu nasyid sebagai genre muzik yang ingin dimartabatkan, impaknya sungguh besar sekali dan penulis sendiri sewaktu kecil boleh menghafal nama-nama Rasul dek kerana kerap ikut sama menyanyikan lagu 25 Rasul saban hari apabila diputarkan di corong radio ataupun ditayangkan di televisyen. Jika kita mendengar lagu-lagu lama seperti dondang sayang misalnya, kandungan lagi ini sebenarnya memberikan nasihat secara halus.

Keduanya lagu memainkan peranan dalam menaikkan semangat patriotisme dan nasionalisme. Justeru tidak hairan setiap kali menyambut Hari Kebangsaan, penganjuran atau penglibatan atlet dalam kejohanan sukan utama seperti Sukan SEA, Komanwel dan Olimpik ataupun apabila berlakunya peristiwa yang besar kepada negara, pastinya ada lagu khusus diciptakan bertujuan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Standing in the Eyes of The World nyanyian Ella misalnya masih ‘berhantu’ sehingga kini kerana semangat nasionalisme dan patriotisme dapat dipupuk menerusi lagu-lagu seperti ini kerana bait-bait liriknya berbaur semangat cinta akan negara ,bangsa dan agama.

Peranan ketiga sebuah lagu sudah pastinya sebagai penghibur. Sebuah naskah lagu yang dicipta mempunyai pelbagai genre tersendiri dan kumpulan pendengar sasaran kerana sebuah lagu yang ‘kena’ dan ‘menangkap’ emosi seseorang pendengar, ia akan kerap diulang dengar tanpa bosan kerana menjadi terapi yang menghilangkan kebosanan, menenangkan fikiran, mengubat jiwa lara malah boleh menjadi pencetus untuk bangkit kembali.

Lagu atau muzik bukan sahaja mampu untuk mempengaruhi mood atau emosi seseorang, ia sebenarnya boleh mempengaruhi cara kita melihat dunia dan berinteraksi dengan orang lain. Memetik kajian daripada Universiti Groningen mendapati bahawa orang akan lebih cenderung untuk mengenali aspek positif persekitaran sekeliling mereka apabila berada dalam mood yang positif. Dengan memainkan muzik yang gembira akan membuatkan kita berasa lebih baik dan anda akan mempunyai perspektif yang lebih baik. Hasil Kajian dari Cornell pula mendapati apabila muzik yang ceria dimainkan, rakan sekerja di tempat kerja lebih gembira dan mudah untuk bekerjasama serta membawa kepada manfaat yang lebih besar.

Berbalik kepada lagu ‘Rahsia Tuhan’, penulis secara peribadi letakkan ia sebagai lagu magis penutup tahun 2024 dan pembuka jendela 2025. Ada pengajaran tersirat untuk kita ambil dari lirik lagu ini. Hidup bagaikam roda, ada jatuh dan bangunnya, misalnya kehilangan orang yang disayangi, keluarga yang berantakan, naik turun dalam kerja yang menyesakkan, kewangan yang tidak stabil, kemusnahan harta benda, dugaan masalah kesihatan dan kesakitan yang berlarutan dan lain-lain lagi. Sebagi orang Islam, diberi kesenangan mahupun kesempitan, ini adalah sebuah ujian.

Yakinilah ujian yang diturunkan kepada kita bukan untuk menyusahkan, tetapi ada hikmah di sebaliknya yang kita akan ketahui selepas menempuhinya dengan sabar dan penuh kebergantungan kepada Allah SWT. Sebagai hamba-Nya, kita perlu mendalami sebaik mungkin firman Allah SWT maksudnya: “Tiada yang menimpa daripada mudarat musibah melainkan dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia membimbing hatinya. Dan Allah itu berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Taghabun: 11).

Selamat Tahun Baru 2025 buat pembaca setia Malaysia Gazette!

Penulis merupakan Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Setiausaha Badan Kebajikan Kakitngan USIM. Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak atau institusi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here