Polis menahan seorang juruwang sebuah kedai telefon selepas melakukan serbuan dan rampasan arak seludup di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang juruwang sebuah kedai telefon selepas melakukan serbuan dan rampasan arak seludup di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini malam tadi.

Suspek lelaki berusia 50-an itu ditangkap pukul 8.35 malam oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi di sini yang membuat serbuan di kedai telefon berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, premis berkenaan dijadikan tempat penyimpanan minuman keras pelbagai jenis dipercayai tidak bercukai.

“Hasil daripada serbuan, polis menahan seorang lelaki warga tempatan itu kerana memiliki 52 kotak minuman keras pelbagai jenis dipercayai tidak bercukai dengan anggaran nilai RM44,879.28.

“Polis turut merampas, sebuah Toyota Camry yang mana turut terdapat minuman keras disimpan dalam bonet kereta menjadikan jumlah nilai rampasan arak dan kereta sebanyak RM124,879.28,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Αkta Kastam 1967 dan hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman enam hari sehingga 7 Januari ini untuk siasatan lanjut.

Mohd Sohaimi menegaskan, polis akan terus membanteras kegiatan penyeludupan dan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang terlibat supaya menghentikan kegiatan terbabit kerana boleh menyebabkan kerugian kepada negara.

“Kita berharap supaya masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti seumpama ini supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here