KUALA LUMPUR- Penganjur konsert Pinkfish Countdown 2024 mendakwa kematian empat individu yang menghadiri konsert berkenaan di Bandar Sunway, Petaling Jaya, kelmarin, berlaku selepas acara berlangsung.
Bagaimanapun katanya, pihak pengurusan tidak akan lepas tangan dan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan kes berkenaan.
“Sebagai penganjur acara, kami memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam melakukan siasatan menyeluruh terhadap kejadian tersebut dan mengambil maklum kenyataan pengesahan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa kematian tersebut berlaku di luar premis acara.
“Keselamatan dan kesejahteraan pengunjung, kakitangan serta komuniti sekitar menjadi keutamaan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, antara langkah yang telah diambil adalah kehadiran lebih 100 anggota polis, menempatkan anggota keselamatan terlatih dan Unit Anjing Pengesan (K9) di semua pintu masuk.
“Kami amat sedih dengan kejadian mengakibatkan empat nyawa terkorban yang dikaitkan dengan konsert berkenaan.
“Kami mendoakan ahli keluarga tabah dalam menghadapi kehilangan orang tersayang,” katanya lagi.- MalaysiaGazette